CHOI Moon Sik. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
CHOI Moon Sik. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelantan FC umpama retak menanti belah apabila kelab itu diakui perlu membayar pampasan bernilai jutaan ringgit kepada bekas ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik dan pembantunya yang dipecat April lalu.

Perkara itu dinyatakan ejen Moon-sik iaitu Myeongho Jeong yang menjelaskan skuad The Red Warriors (TRW) turut berhutang tiket penerbangan jurulatih itu.

Jelasnya kepada Arena Metro, kes Moon-sik yang diheret ke Fifa mendapati TRW bersalah dan kelab terbabit harus membayar pampasan gaji selama semusim.

"Saya dah menang (menang kes Moon-sik di Fifa). Mereka (Kelantan FC) perlu membayar gaji penuh semusim, dan juga kos tiket penerbangan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Jelas Jeong yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JMH Sports Agency, nilai pampasan semusim dan tiket itu memakan jumlah hingga jutaan ringgit.

Semalam, akhbar ini mendedahkan hutang TRW mencecah RM1 juta babitkan dua bekas pemain dan satu jurulatih yang sudah diheret ke Fifa.

Menurut sumber, tunggakan itu perlu dijelaskan bagi membolehkan Kelantan FC membawa masuk pemain baharu dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) ketika ini yang sudah dibuka pada Rabu lalu hingga 1 Ogos ini.

Difahamkan, dua bekas pemain TRW yang memenangi kes di Fifa adalah Kervens Belfort dan Fadel Mohammad Antar selain Moon-sik.

Sementara itu, Belfort turut berkongsi keputusan Fifa di laman Story Instagram yang memihaknya dan Kelantan FC perlu menjelaskan tunggakan hutang pemain import itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 4:46 PM