PEMAIN Sabah meraikan kejayaan menumpaskan Perak 3-1 hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
PEMAIN Sabah meraikan kejayaan menumpaskan Perak 3-1 hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Stadium Likas kembali bersinar dengan kemenangan Sabah FC selepas mendapat semula rentak permainan dengan membelasah Perak FC 3 - 1 dalam aksi Liga Super, di sini, malam ini.

Kemenangan di halaman sendiri itu sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Sabah yang terpaksa berkongsi mata dengan Terengganu FC selepas terikat 2 - 2 di padang yang sama, Jumaat lalu.

Berbeza ketika berdepan Terengganu sebelum ini, aksi skuad Sang Badak menentang Perak malam ini dilihat lebih bertenaga dan dapat menguasai permainan.

Hanya pada separuh masa kedua, Sabah kelihatan agak melengahkan permainan berbanding Perak yang dilihat bangkit sebelum berjaya merembat jaringan tunggal melalui bekas pemain Sabah sendiri, Harith Naem pada minit ke-82.

Ketika babak pertama, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee mendahului jaringan seawal minit keempat hasil rembatan Darren Lok yang bertindak pantas mencuri peluang daripada situasi kucar-kacir di hadapan gawang Perak.

Sabah kemudian menambah dua lagi gol pada minit ke-31 dan ke-41 hasil jaringan Park Taesu dan kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar, membolehkan Sabah berada dalam kedudukan selesa dengan 3 - 0 hingga tamat separuh masa pertama.

Beralih ke separuh masa kedua, rentak permainan Perak mula berubah dan lebih agresif berbanding pemain Sabah yang mungkin merasakan memiliki kelebihan kerana sudah menjaringkan tiga gol.

Perak mengatur beberapa percubaan berbahaya seawal permulaan babak kedua, sebelum cubaan melalui rembatan tajam Harith pada minit ke-82, menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

Perubahan kedudukan jaringan kepada 3 - 1 pada minit akhir permainan itu menaikkan lagi semangat anak buah Datuk Lim Teong Kim, namun keputusan itu kekal hingga wisel penamat.

Sabah kembali mengutip tiga mata di halaman sendiri sekali gus dapat memperbaiki kedudukan dalam carta liga ke tangga keempat, setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 10:48 PM