HAMRAN (tengah) meraikan gol penyamaan ketika menentang  MIFA di Stadium Likas. FOTO/KHAIRULL AZRY BIDIN
HAMRAN (tengah) meraikan gol penyamaan ketika menentang MIFA di Stadium Likas. FOTO/KHAIRULL AZRY BIDIN
Ryan Stanley


SABAH bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum membenam MIFA 3-2 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, malam tadi.

MIFA terlebih dulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Kpah Sean Sherman pada minit ke-17, hasil rembatan dari dalam kotak penalti selepas mengatasi pertahanan Sabah bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Sabah kemudian memiliki peluang baik untuk menyamakan kedudukan pada pada minit ke-30, namun tandukan ke bawah Hector Ramos hasil hantaran cantik Sabri Sahar melepasi palang gol.

Tiga minit kemudian, Sherman sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila meledak gol kedua selepas bola muntah hasil tampanan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim disudahkan dengan baik bagi mendahului tuan rumah 2-0.

Pada minit ke-36, ketua pasukan Sabah, Rawilson Batuil menghidupkan semula peluang tuan rumah apabila menjaringkan gol menerusi tandukan bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Tersentak dengan jaringan itu, MIFA menggandakan usaha untuk menambah gol dan hampir memperolehinya pada minit ke-41 menerusi cubaan akrobatik L’iman Seydi namun berjaya diselamatkan Rozaimie.

Bermula separuh masa kedua, Sabah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-47 menerusi sepakan percuma Paunovic namun Hairol sekali lagi bertindak cemerlang menepis bola keluar.

Gol dicari Sabah akhirnya muncul pada minit ke-50 apabila rembatan Hamran hasil hantaran Paunovic terkena pertahanan lawan lalu terus menuju ke gawang MIFA menjadi kedudukan 2-2.

Pada minit ke-83, Ramos menceriakan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga Sabah menerusi penyudah baik selepas mendapat hantaran jauh daripada Randy Baruh dan kedudukan 3-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 12:28 AM