HARRY Maguire. FOTO AFP
HARRY Maguire. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United sedia menjual kapten, Harry Maguire pada musim panas, hanya tiga tahun selepas perpindahan rekod dunianya ke Old Trafford.

Bek tengah itu bergelut untuk membuktikan prestasinya yang mendorong Red Devils berbelanja sebanyak £85 juta (RM464.5 juta) untuk mendapatkan khidmatnya pada musim panas 2019.

Aksi hambarnya pada awal musim mendorong pengurus Erik ten Hag menggugurkannya daripada kesebelasan utama.

Pengendali dari Belanda itu dilaporkan mahu menamatkan kontrak Maguire di Old Trafford pada penghujung musim ini.

Menurut The Guardian, Ten Hag mahu mengetepikan pemain antarabangsa England itu selepas tidak memberi impak besar kepada United.

Aksi hambar Maguire di atas padang membuatkan pengurus United itu lebih memilih Raphael Varane dan Lisandro Martínez sebagai gandingan bek tengah pilihannya.

Maguire digugurkan daripada kesebelasan utama United selepas kekalahan memalukan kelab itu di tangan Brighton dan Brentford.

Bagaimanapun dia kembali beraksi bulan lalu untuk ketika bertemu West Ham.

United dilaporkan sanggup melepaskan Maguire pada harga lebih rendah berbanding ketika ditandatangani, tetapi masih mengharapkan tawaran bersesuaian memandangkan kontraknya hanya tamat pada tahun 2025.

Di sebalik episod dukanya bersama kelab, Maguire masih dilihat cemerlang di mata pengendali England, Gareth Southgate yang tetap menyenaraikannya dalam skuad 26 pemain ke Piala Dunia Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 8:29 PM