CRISTIANO Ronaldo. FOTO Agensi
CRISTIANO Ronaldo. FOTO Agensi
Agensi

London: Cristiano Ronaldo akan terbang ke England dan mendesak untuk meninggalkan Manchester United serta-merta.

Pemain berstatus bintang berusia 37 tahun itu bersedia untuk mengadakan rundingan dengan Red Devils di mana dia akan memberitahu kelab itu bahawa dirinya tidak akan menerima sebarang tawaran perjanjian baharu.

Ronaldo terlepas jelajah pramusim United ke Thailand dan Australia kerana 'urusan keluarga'

Pemain Portugal itu bertegas mahu berhijrah supaya boleh terus beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara selepas United sekadar menduduki tempat keenam liga musim lalu sekali gus gagal layak ke pertandingan berprestij itu.

Ronaldo tidak pernah beraksi di saingan Liga Europa sepanjang kariernya yang cemerlang.

United sudah menegaskan bahawa Ronaldo bukan untuk dijual manakala bos baharu, Erik Ten Hag berkata mengekalkan penyerang itu adalah sebahagian perancangan penting pasukannya musim ini.

Pengendali dari Belanda itu akan cuba meyakinkan Ronaldo yang kembali semula ke United dari Juventus pada Ogos tahun lalu, untuk kekal bersama kelab itu.

United juga bersedia meminjamkan Ronaldo supaya dia boleh beraksi di Liga Juara-Juara dengan Atletico Madrid menjadi kelab terbaru yang dikaitkan dengan pemain itu.

Ronaldo dan Ten Hag sudah bersemuka pada penghujung musim lalu tetapi masih belum mengadakan perbincangan sejak pemenang Ballon d'Or lima kali itu mencetuskan kontroversi mahu meninggalkan Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 6:47 AM