Aksi penyerang Manchester United, Marcus Rashford dalam saingan EPL. FOTO AFP
Aksi penyerang Manchester United, Marcus Rashford dalam saingan EPL. FOTO AFP
Agensi

London: Marcus Rashford mengakui dia masih berasa 'malu' dengan kekalahan 0-5 Manchester United kepada Liverpool pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Ahad lalu.

Mohamed Salah meledak hatrik, sementara Diogo Jota dan Naby Keita turut mencetak nama sebagai penjaring ketika Liverpool menumpaskan musuh tradisi mereka di Old Trafford.

Rashford berkata dia masih 'malu' mengenai keputusan perlawanan itu namun menegaskan skuad Red Devils sedang 'berusaha keras' untuk memperbaiki situasi yang mereka hadapi.

Pemain berusia 23 tahun itu kembali menemui sentuhan jaringan pada dua perlawanan dalam tiga penampilan sejak kembali pulih dari pembedahan bahu yang memaksa dirinya tersisih pada awal kempen.

Kekalahan kepada Liverpool memberi tekanan kuat kepada ketua jurulatih Ole Gunnar Solskjaer, dengan Antonio Conte dikaitkan bakal menggantikan tugas itu di Old Trafford.

Bagaimanapun, pengendali dari Norway itu dilihat masih diberi tanggungjawab dan kepercayaan membimbing pasukan itu bagi pertembungan EPL menentang Tottenham Hotspur, pada Sabtu.

Di mana Red Devils pastinya mengintai peluang untuk bangkit mencatat kemenangan bagi saingan liga utama England itu buat pertama kali sejak mengatasi West Ham United pada pertengahan September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 12:07 PM