HAALAND meraikan jaringan ketika menentang Fulham.
HAALAND meraikan jaringan ketika menentang Fulham.
AFP

London: Pep Guardiola berkata, ketajaman penyudah Erling Haaland bersama Manchester City memang mengejutkan apabila bintang muda Norway itu semakin hampir mengatasi rekod jaringan semusim Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain berusia 22 tahun itu meledak gol ke-34nya dalam saingan liga ketika City menang 2-1 di Fulham sekali gus menyamai pencapaian pemegang rekod Andy Cole dan Alan Shearer.

Jaringan Haaland di Craven Cottage adalah yang ke-50nya musim ini -- dia memegang rekod jaringan dalam semua kejohanan oleh pemain EPL sejak liga utama itu dijenamakan semula pada 1992.

Dengan baki 10 perlawanan City, Haaland mampu memecahkan rekod Inggeris sepanjang zaman milik Dixie Dean dengan 63 gol yang dicipta pada musim 1927/28.

Ia musim cemerlang bagi Haaland yang tampil kali pertama beraksi dalam saingan bola sepak Inggeris malah Guardiola tidak menjangka ledakan cukup berbisa daripada bekas bintang Borussia Dortmund itu.

"Memang mengejutkan bagi kami, mungkin tidak bagi dia untuk berjaya di liga sukar seperti ini. Tetapi cara dia menyesuaikan diri dan melakukannya memberikan kejayaan kepada pasukan," katanya.

"Sudah tentu bagus untuk dirinya dan pasukan jika dia memecahkan rekod. Ia petanda bagus. Sudah lama rekod itu tidak dipecahkan dan semua rekod akan lebur suatu hari nanti."

Guardiola percaya musim kedua Haaland bersama City bakal menjadi lebih baik berbanding yang pertama.

"Saya fikir dia mempunyai keinginan menjadi pemain lebih baik dan dia mampu mencapainya," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 11:15 AM