HAALAND meledak hatrik buat kali kedua berturut-turut selepas membantu City membelasah Forest 6-0. FOTO Reuters
HAALAND meledak hatrik buat kali kedua berturut-turut selepas membantu City membelasah Forest 6-0. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pep Guardiola mencabar Erling Haaland agar menjadi legenda Manchester City selepas penyerang antarabangsa Norway itu meledak hatrik kali kedua berturut-turut ketika kelabnya membelasah Nottingham Forest 6-0.

Haaland menghukum Forest dengan meledak hatrik selepas 26 minit aksi separuh masa pertama berlangsung di Stadium Etihad, empat hari selepas dia menjaringkan gol ketika menentang Crystal Palace.

Pemain berusia 22 tahun itu menjadi pemain pertama dalam era Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menjaringkan sembilan gol dalam lima penampilan awal, memecahkan rekod yang dikongsi bersama ikon City, Sergio Aguero dan Micky Quinn.

Haaland masih lagi jauh untuk mengejar rekod Aguero, pemegang rekod jaringan terbanyak City, namun Guardiola yakin pemain yang dibeli dari Borussia Dortmund itu mampu untuk mencipta nama di kelab berkenaan.

"Sergio adalah legenda. Tidak ada siapa mampu memecahkan kedudukannya di hati peminat City, menjaringkan gol penting dalam sejarah moden.

"Erling mempunyai kualiti untuk berada di sana. Ia bukan mengenai dia atau Sergio. Apa yang Sergio lakukan adalah luar biasa. Bagaimanapun, Erling mempunyai bakat seperti ini.

"Ketika City membeli Erling, ramai mengatakan mengenai apa yang dilakukan pada masa lalu. Apa yang kami mahu adalah membantunya. Saya berharap dia dapat menikmati dan menjaringkan lebih banyak jaringan.

"Apa yang dilakukannya di Norway, Austria dan Jerman cuba dilakukannya di sini. Dia berbakat, kami mengetahuinya," kata Guardiola.

Haaland sudah pun menjadi pilihan utama untuk menghabiskan saingan EPL musim ini dengan gelaran penjaring terbanyak.

Bagaimanapun, menegaskan membantu City mengekalkan gelaran juara akan lebih bermakna berbanding pujian peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 8:41 AM