BUKAN Haaland seorang yang menjadi ancaman buat United. FOTO Reuters
BUKAN Haaland seorang yang menjadi ancaman buat United. FOTO Reuters
Reuters

London: Pemain pertahanan Manchester United, Raphael Varane berkata mereka tidak gentar ancaman Erling Haaland menjelang pertembungan final Piala FA menentang Manchester City tetapi mengakui seteru mereka itu mampu menghadirkan bahaya dari setiap kawasan padang.

United akan turun ke final esok untuk menyekat hajat juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu yang memburu trofi kedua musim ini.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola sedang memburu treble yang jarang berlaku dengan mereka bakal berdepan satu lagi perlawanan akhir menentang Inter Milan bagi merebut trofi Liga Juara-Juara 11 Jun depan.

Satu-satunya pasukan yang memenangi kejuaraan EPL, Piala FA dan Liga Juara-Juara pada musim yang sama ialah United, yang mencapai kejayaan itu pada 1999.

Haaland menjaringkan 52 gol dalam musim sulungnya di England, memenangi Kasut Emas EPL dengan rekod 36 gol serta meraih anugerah Pemain Terbaik Tahunan.

Varane berkata terdapat lebih banyak kelebihan City selain penyerang dari Norway itu.

"Takut? Tak mungkin... Kenapa?," katanya kepada The Telegraph.

"Ya, dia seorang pemain yang sangat bagus, kita semua tahu itu. Tetapi bahaya dari City ada di mana-mana, mereka sangat lengkap."

Varane berkata, menyekat Kevin De Bruyne adalah kunci utama untuk menghalang Haaland.

De Bruyne menamatkan musim liga dengan 16 bantuan jaringan, separuh daripadanya adalah untuk Haaland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 8:29 PM