GUARDIOLA tagih sokongan padu penyokong City ketika menentang Arsenal.
GUARDIOLA tagih sokongan padu penyokong City ketika menentang Arsenal.
Reuters

London: Pengurus Manchester City Pep Guardiola menggesa penyokong memberikan sokongan paling hebat ketika menentang Arsenal dalam persaingan memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi Khamis ini.

Arsenal kehilangan cengkaman selaku pendahulu sejak beberapa minggu lalu dengan tiga keputusan seri berturut-turut menyebabkan mereka hanya mendahului lima mata di depan City tetapi beraksi lebih dua perlawanan.

"Malam esok (awal pagi Khamis) ibarat final menentang kelab terbaik di England setakat ini dan lima mata di depan kami," kata Guardiola kepada wartawan hari ini.

"Saya tahu walaupun mereka seri tiga aksi terakhir, cara mereka bermain dalam keseluruhan perlawanan, ia sukar disekat. Ia perlawanan sangat penting kepada kami kerana kemenangan bakal memberikan kelebihan sangat besar untuk kami menjuarai liga.

"Liga Perdana adalah 11 bulan bekerja, bekerja, bekerja dan kami mahu merebut peluang ini. Kami tak boleh melakukannya seorang. Saya harap seluruh Etihad penuh dengan penyokong tiga jam sebelum perlawanan."

Guardiola sebelum ini kerap mengkritik penyokong kerana mendakwa mereka kurang memberi sokongan kepada City. Selepas bangkit menewaskan Tottenham Hotspur 4-2 pada Januari lalu, Guardiola berkata penyokong 'sunyi selama 45 minit'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 9:15 PM