SALAH berjaya menjaringkan gol kemenangan Liverpool. FOTO Reuters
SALAH berjaya menjaringkan gol kemenangan Liverpool. FOTO Reuters
Reuters

Liverpool: Jaringan Diogo Jota dan Mohamed Salah membantu Liverpool menumpaskan pasukan sedang bergelut di Liga Perdana Inggeris (EPL), Nottingham Forest 3-2 sekali gus melonjakkan mereka ke kedudukan ketujuh liga.

Aksi yang berlangsung di Anfield itu, menyaksikan kesemua jaringan hadir pada babak kedua, dengan Jota menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-47 sebelum Forest menyamakan kedudukan menerusi bekas pemain bek Liverpool, Neco Williams.

Jota kemudian meletakkan Liverpool kembali mendahului perlawanan pada minit ke-55 namun kedudukan disamakan semula oleh jaringan Morgan Gibbs-White pada minit ke-67.

Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Juergen Klopp tetap berpuashati dengan kemenangan tipis berkenaan namun kecewa terhadap barisan pertahanannya yang goyah terutama apabila pertembungan menentang pasukan yang mempunyai rekod serangan kedua terburuk dalam liga.

"Ia adalah perlawanan yang sukar menentang pasukan bawahan," kata Klopp.

"Kesemua keadaan huru-hara ini berlaku ketika lontaran ke dalam yang kamu perlu cuba elakkan.

"Terlalu banyak situasi, kami tidak mampu mengatasinya dengan baik tetapi selain daripada itu, saya sangat gembira."

Kemenangan muktamad Liverpool hadir selang tiga minit selepas jaringan kedua Forest menerusi ledakan Salah.

"Saya fikir ia adalah satu kemenangan yang penting dan ia susulan daripada kemenangan sebelum ini," kata Jota yang kini sudah meledak empat gol dalam dua perlawanan selepas gagal menjaringkan gol pada 32 penampilannya bersama kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 8:30 AM