RODRI (dua dari kanan) merayu kepada pengadil selepas dilayang kad merah.  FOTO AFP
RODRI (dua dari kanan) merayu kepada pengadil selepas dilayang kad merah. FOTO AFP
Reuters

London: Manchester City mengekalkan permulaan musim sempurna dengan kemenangan keenam berturut-turut aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) namun kemenangan 2-0 ke atas Nottingham Forest semalam dicemari layangan kad merah diterima Rodri pada awal babak kedua.

Jaringan Phil Foden dan Erling Haaland dalam tempoh 15 minit membolehkan juara bertahan menguasai perlawanan tetapi insiden Rodri dibuang padang selepas mengasari Morgan Gibbs-White bermakna City perlu bekerja keras untuk mengesahkan kemenangan.

Manchester United turut meraih kemenangan berharga seleaps menang 1-0 di Burnley sekali gus menamatkan tiga kekalahan berturut-turut mereka dalam semua kejohanan.

Everton mencipta kemenangan pertama liga musim ini selepas menang bergaya 3-1 di Brentford manakala Luton Town seri 1-1 menentang pelawat Wolverhampton Wanderers yang beraksi 10 pemain. Satu lagi perlawanan membabitkan Crystal Palace dan Fulham berakhir 0-0 di Selhurst Park.

Dengan separuh daripada jadual berlangsung malam ini, City mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu dengan 18 mata maksimum, lima mata di depan Tottenham Hotspur dan Arsenal yang akan bertembung malam ini manakala Liverpool menerima kunjungan West Ham United.

Kemenangan City seperti dijangka selepas hantaran Kyle Walker membolehkan Foden membuka tirai jaringan sebelum Haaland menanduk kencang susulan hantaran daripada Matheus Nunes.

Tetapi tindakan Rodri yang mencekak leher Gibbs-White minit ke-46 menyebabkan tuan rumah bergelut menambah jaringan.

"Kami bermain 51, 51 minit dengan 10 pemain menentang 11, jadi ia tidak mudah tetapi kami fantastik," kata pengurus City Pep Guardiola.

"Saya fikir kami beraksi pada babak pertama sangat bagus menentang pasukan yang bermain fizikal dan kepantasan mereka di bahagian depan."

Ditanya mengenai kad merah Rodri, Guardiola berkata: "Rodri perlu mengawal emosi, saya boleh mendapat kad kuning tetapi Rodri tak boleh mendapat kad merah.

"Tetapi dia melakukannya dan dia minta maaf. Pemain di atas padang perlu kawal emosi mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 8:17 AM