ALEXANDER-Arnold menjaringkan gol pertama Liverpool menerusi sepakan percuma.
ALEXANDER-Arnold menjaringkan gol pertama Liverpool menerusi sepakan percuma.
Reuters

London: Liverpool menyamakan kedudukan mata dengan Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Fulham 3-1 di Craven Cottage hasil jaringan Trent Alexander-Arnold, Ryan Gravenberch dan Diogo Jota.

Liverpool di tangga kedua hanya dipisahkan menerusi perbezaan gol dengan Arsenal. Kedua-duanya mengumpul 74 mata ketika berbaki lima perlawanan manakala juara bertahan Manchester City ketiga meraih 73 mata beraksi kurang satu perlawanan.

Seminggu selepas Crystal Palace menang 1-0 dan menjejaskan impian gelaran liga Liverpool, kemenangan awal pagi tadi menyemarakkan semula impian skuad Juergen Klopp.

"Ini liga paling kuat, paling sengit di dunia dan kami berada di sini untuk menentang dua pasukan sensasi," kata Klopp kepada Sky Sports. "Jika kami tidak memiliki karakter, kami tidak akan ada di sini. Tiada peluang."

Alexander-Arnold yang beraksi kali pertama dalam kesebelasan sejak 10 Februari meledak sepakan percuma menarik ke penjuru gawang pada minit ke-32 yang gagal ditepis penjaga gol Bernd Leno.

Ia jaringan keenam pemain antarabangsa England itu menerusi sepakan percuma secara terus.

Dalam persaingan sengit tanpa sebarang ruang untuk melakukan kesilapan, Alexander-Arnold menganggap kemenangan ke atas Fulham sangat berharga.

"Ketika kedudukan ini anda tidak akan selalu mendapat keputusan anda mahu. Ia keputusan sangat penting kepada kami. Kami perlukan lima lagi aksi, lima akhir," katanya.

Timothy Castagne menyamakan kedudukan untuk Fulham sebelum rehat sebelum Gravenberch kembali meletakkan Liverpool di depan minit ke-53.

Jota melengkapkan kemenangan minit ke-72 untuk jaringan ke-100nya dalam karier kelab Inggeris di semua kejohanan.

Dengan Manchester City tidak beraksi sehingga Jumaat, Liverpool berpeluang melonjak empat mata di depan apabila berdepan Everton pada awal pagi Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 8:36 AM