MAHREZ berjaya membawa City ke final Piala FA. FOTO Reuters.
MAHREZ berjaya membawa City ke final Piala FA. FOTO Reuters.
Reuters

London: Riyad Mahrez meledak hatrik tatkala Manchester City menamatkan badi kekalahan di separuh akhir Piala FA dengan kemenangan 3-0 ke atas pasukan divisyen dua, Sheffield United di Wembley.

Selepas tersingkir di separuh akhir tiga kali berturut-turut sebelum ini, pasukan bimbingan Pep Guardiola yang memburu treble, akhirnya tidak mengalami kekecewaan sama dan menang tanpa perlu bekerja keras.

Sheffield yang berada di landasan terbaik ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan bermula dengan cemerlang dan mengecewakan City hampir keseluruhan separuh masa pertama namun Mahrez meletakkan pasukannya di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-43.

Mahrez kemudiannya berjaya melepasi pertahanan lawan untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-61 dan melengkapkan hatrik lima minit kemudian hasil penyudah klinikal selepas menerima hantaran rendah Jack Grealish.

Ia adalah hatrik pertama dalam perlawanan separuh akhir Piala FA sejak Alex Dawson melakukannya ketika Manchester United menentang Fulham pada 1958.

"Ini adalah kualiti yang dimiliki Riyad yang kami sudah melihatnya bertahun-tahun di dalam negara ini termasuk ketika dia bersama Leicester.

"Dia adalah pemain yang mempunyai mentaliti luar biasa. Sentiasa bercita-cita tinggi untuk menjaringkan gol. Menjaringkan gol pada hujung separuh masa pertama adalah sangat penting," kata Guardiola.

City tidak melepaskan sebarang gol dan meledak 17 jaringan ketika dalam perjalanan untuk mara buat kali ke-12 perlawanan akhir Piala FA, di mana mereka berkemungkinan berdepan Manchester United sekali gus menjadi pertembungan seteru Manchester pertama di final.

United akan berdepan Brighton & Hove Albion dalam satu lagi perlawanan separuh akhir malam ini.

Selepas berada dalam kedudukan selamat ke final, Guardiola mengeluarkan Grealish dan peledak berbisa mereka, Erling Haaland yang bakal menjadi tonggak penting untuk pertembungan dengan Arsenal Khamis ini.

City juga mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan akan berdepan penyandang juara, Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 8:15 AM