KAPTEN Aston Villa, Jack Grealish dijangka menyertai Manchester City dengan rekod perpindahan Britain. FOTO AFP
KAPTEN Aston Villa, Jack Grealish dijangka menyertai Manchester City dengan rekod perpindahan Britain. FOTO AFP
AFP

London: Manchester City semakin hampir menandatangani perancang Aston Villa, Jack Grealish dengan rekod perpindahan Britain RM588 juta (£100 juta), menurut laporan media hari ini.

City mengesahkan minat mereka terhadap Grealish pada Jumaat lalu dan kini Villa bersedia melepaskan kapten mereka itu ke Stadium Etihad.

Juara Liga Perdana Inggeris itu mula dikaitkan dengan pemain berusia 25 tahun itu sejak hujung musim lalu.

Tiada ulasan mengenai perkembangan itu daripada kedua-dua kelab berkenaan, tetapi media Britain mendakwa perjanjian itu akan dimuktamadkan dalam beberapa hari.

Ia mungkin menyaksikan Grealish beraksi kali pertama untk City pada perlawanan Perisai Komuniti menentang Leicester di Wembley, Sabtu ini.

Jika Grealish menyertai City, yuran perpindahan itu mengatasi rekod Britain sebelum ini iaitu RM523 juta (£89 juta) dibayar Manchester United untuk mendapatkan Paul Pogba dari Juventus pada 2016.

Grealish yang masih memiliki baki kontrak empat tahun dengan Villa menjaringkan enam gol Liga Perdana Inggeris buat pasukan itu musim lalu, selain 10 umpanan jaringan.

Empat penampilannya bersama England yang mara ke final Euro 2020 menyerlahkan kualitinya apabila beraksi di peringkat tertinggi.

Kemampuan Grealish merobek benteng lawan akan memberikan Pep Guardiola senjata baharu dalam usaha City mempertahankan gelaran.

Dua rakan sepasukan Grealish dalam skuad England iaitu Phil Foden dan Raheem Sterling sudah bersama Guardiola manakala Kevin De Bruyne, Bernardo Silva dan Riyad Mahrez memberikan pengurus City itu bakat kreatif dan melimpah ruah di bahagian serangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 11:12 PM