GAYA Foden (kanan) meraikan jaringan. FOTO AFP
GAYA Foden (kanan) meraikan jaringan. FOTO AFP
AFP

Dortmund: Manchester City menempah pertembungan separuh akhir Liga Juara-Juara dengan Paris Saint-Germain selepas jaringan Phil Foden pada babak kedua mengesahkan kemenangan 2-1 di Borussia Dortmund dan membolehkan pendahulu Liga Perdana itu mara dengan agregat 4-2.

Pemain tengah England, Jude Bellingham meletakkan Dortmund di depan tetapi jaringan penalti Riyad Mahrez pada babak kedua dan ledakan Foden membawa City ke saingan empat terakhir kejohanan utama Eropah buat kali kedua.

Selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90 ketika City menang 2-1 di Manchester minggu lalu, pemain antarabangsa England, Foden sekali lagi mengecewakan Dortmund.

"Kami akhirnya mara ke separuh akhir dan kami sangat gembira,'' kata Guardiola yang pasukannya memburu empat gelaran musim ini.

"Pemain saya berhak menang kerana apa yang mereka capai musim ini memang menakjubkan."

Guardiola turut mengagumi PSG yang mara selepas mengatasi juara bertahan, Bayern Munich menerusi jaringan di tempat lawan.

"Kami lihat semalam betapa kuat mereka (PSG), Neymar pemain cemerlang dan mereka menyingkirkan kelab terbaik dunia,'' kata Guardiola.

"Sekarang, masa untuk kami meraikan kemaraan dan kemudian bersiap sedia menentang Chelsea (separuh akhir Piala FA Sabtu ini)."

City tersingkir daripada suku akhir sejak tiga musim terakhir dan terpaksa bangkit daripada ketinggalan di Signal Iduna Park ketika Dortmund yang tidak konsisten di Bundesliga mendahului pada minit ke-15.

Empat hari selepas menjaringkan gol pertamanya di Bundesliga, Bellingham turut meledak gol pertamanya dalam saingan Liga Juara-Juara menerusi rembatan lencung.

Mahrez kemudiannya meletakkan pelawat di depan selepas bola terkena tangan Emre Can dan Foden membunuh sisa harapan Dortmund menerusi rembatan rendah kencang ke penjuru kiri gawang tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 April 2021 @ 8:30 AM