TANGKAP layar daripada video menunjukkan pegawai keselamatan membawa Fico (tengah) ke kenderaan selepas insiden tembakan itu. FOTO AFPTV / AFP
TANGKAP layar daripada video menunjukkan pegawai keselamatan membawa Fico (tengah) ke kenderaan selepas insiden tembakan itu. FOTO AFPTV / AFP
AFP

Bratislava: Suspek yang ditahan kerana menembak Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, pada Rabu, adalah seorang penulis berusia 71 tahun.

Perkara itu turut disahkan Menteri Dalam Negeri, Sutaj Estok, selepas media mengenal pasti lelaki berkenaan, semalam.

"Saya rasa saya boleh mengesahkan ini, ya," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai laporan merujuk kepada identiti lelaki yang ditahan di tempat kejadian tembakan itu iaitu di bandar Handlova.

Seorang suspek rambutnya sudah beruban dilihat digari di atas tanah sejurus selepas Fico ditembak beberapa kali, selepas menghadiri mesyuarat kerajaan di Handlova.

Laporan media menyebut suspek adalah pengasas Kelab Sastera Duha (Pelangi) dan berasal dari bandar Levice.

Laporan itu, yang turut menamakan suspek itu berkata, lelaki itu sudah menulis tiga koleksi puisi dan juga ahli Persatuan Penulis Slovak.

Persatuan itu pula mengesahkan di Facebook bahawa lelaki itu menjadi ahlinya sejak 2015, sambil menambah bahawa jika identitinya sebagai suspek penembak disahkan, keahliannya akan dibatalkan serta-merta.

Anak lelaki suspek memberitahu laman berita Slovak aktuality.sk bahawa dia sama sekali tidak tahu apa yang ayahnya fikirkan, apa yang dia rancangkan dan mengapa ia berlaku.

Dia berkata, bapanya adalah pemilik senjata yang berdaftar secara sah.

"Saya akan beritahu anda, dia tidak mengundi (Fico). Itu sahaja yang boleh saya katakan mengenainya," katanya.

Ketua perpustakaan tempatan di kampung halaman lelaki itu, Vlasta Kollarova berkata, suspek itu memberontak ketika dia masih muda, tetapi tidak agresif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 12:26 PM