DJ Lin
DJ Lin
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Penyampai radio segmen Suria Cinta yang juga Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin, 49, dinobatkan sebagai 'Penyampai Radio Paling Dipercayai di Malaysia' untuk kali keempat berturut turut.

DJ Lin atau Roslinda Abd Majid meraih pengiktirafan berprestij yang melakar sejarah tersendiri dalam kariernya di konti radio itu di majlis anugerah Reader's Digest Trusted Brands 2024 yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini. 

Dalam kenyataannya, DJ Lin berkata, dia berasa amat terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudah memberikan sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepadanya dari dulu hingga kini. 

"Terima kasih kepada keluarga, peminat, rakan media, 'team' Suria FM dan pengurusan Star Media Group Berhad di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi buat saya sepanjang menjadi penyampai radio sejak tahun 1999 sehingga kini. 

"Juga, sekalung penghargaan kepada rakyat Malaysia yang mengundi dan sekali lagi memilih saya sebagai penerima anugerah yang berprestij ini. Pengiktirafan ini sememangnya akan menjadi penguat semangat dan inspirasi buat saya untuk terus memberikan komitmen terbaik dalam industri radio di Malaysia," katanya. 

Pada majlis anugerah itu, DJ Lin difahamkan tidak dapat hadir menerima sendiri trofi kemenangannya kerana berada di Tanah Suci Makkah mengerjakan ibadah umrah bersama anak dan anggota keluarganya.

Anugerah Reader's Digest Trusted Brands ini adalah hasil daripada kajian bebas yang dilakukan oleh agensi penyelidikan pasaran terkemuka, Catalyst Research dengan keputusan yang diterbitkan secara eksklusif di majalah Reader's Digest Malaysia.

Kajian ini membabitkan kira-kira 2,000 sampel individu daripada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia bagi menunjukkan kepercayaan rakyat tempatan terhadap jenama, produk, dan personaliti yang paling dipercayai oleh mereka serta mempunyai lebih daripada 45 kategori berbeza.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2024 @ 12:11 PM