AKSI antara Arsenal dan Lens pagi tadi. FOTO AFP
AKSI antara Arsenal dan Lens pagi tadi. FOTO AFP
AFP

London: Arsenal mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara sebagai juara Kumpulan B selepas meledak empat gol dalam masa 14 minit ketika mencatat kemenangan 6-0 ke atas Lens.

Skuad kendalian Mikel Arteta memerlukan satu mata untuk memastikan mara ke peringkat kalah mati, tetapi mereka tidak berpuas hati dengan sasaran itu apabila mereka menumpaskan kelab Perancis yang gagal memberi tentangan di Stadium Emirates.

Kai Havertz, Gabriel Jesus, Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli berjaya menjaringkan gol pada 27 minit pertama.

Martin Odegaard menambah gol kelima sejurus sebelum rehat dan Jorginho menjaringkan gol pertamanya untuk Arsenal dengan sepakan penalti lewat permainan bagi meraih kemenangan terbesar mereka musim ini.

Dengan berbaki satu perlawanan, The Gunners sudah menjaminkan tempat selaku juara kumpulan apabila mereka memiliki kelebihan empat mata di depan PSV Eindhoven.

PSV turut mengesahkan slot ke peringkat kalah mati selepas kekalahan Lens dan kemenangan 3-2 di Sevilla pagi tadi.

Mendapatkan kedudukan teratas dalam kumpulan bermakna Arsenal akan mempunyai kelebihan perlawanan di tempat sendiri pada pusingan 16 terakhir.

"Saya tidak pernah bermimpi akan terjadi seperti ini. Kami berpeluang melayakkan diri dan mengungguli kumpulan. Kami melakukannya dengan cara yang cantik," kata Arteta.

"Kami menunjukkan corak agresif. Alangkah baiknya kami dapat menang dengan cara ini. Kami begitu bagus di laman sendiri di Eropah, menjaringkan banyak gol dan tidak dibolosi.

"Kami percaya kami boleh melakukannya menentang lawan yang lebih besar. Sekarang kita tunggu untuk melihat siapa yang kita hadapi bagi peringkat seterusnya."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 8:50 AM