MOUNT (tiga dari kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di London. FOTO AFP
MOUNT (tiga dari kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan di London. FOTO AFP
Agensi

London: Chelsea menarik nafas lega selepas tiga tonggak utama mereka yang mengalami kecederaan kembali pulih menjelang aksi getir menentang Real Madrid dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu awal pagi Khamis ini.

The Blues tidak dapat menggunakan khidmat N'Golo Kante dan Mason Mount ketika tewas 0-1 di Wolves tetapi kedua-duanya kembali berlatih di pusat latihan Cobham semalam.

Kehadiran kedua-dua pemain itu pastinya menyuntik semangat pengurus sementara Frank Lampard yang berdepan kekalahan dalam aksi pertama kendaliannya selain mahu meraih keputusan positif ketika menentang gergasi La Liga itu.

"Kami mempunyai peluang menentang pasukan hebat dan kami perlu berusaha memanfaatkan peluang itu," kata Lampard merujuk kekalahan mengejut Madrid 2-3 kepada Villarreal di tempat sendiri dalam aksi La Liga kelmarin.

"Datang ke sana dengan penuh keyakinan dan kepercayaan kerana jika anda berasa bimbang, jangan datang."

Turut menceriakan Lampard ialah Thiago Silva yang kembali berlatih selepas diketepikan akibat kecederaan ketika tewas di Tottenham pada 26 Februari lalu.

Pertahanan veteran itu mungkin tidak cukup cergas untuk kunjungan ke Sepanyol tetapi dia pasti boleh beraksi pada saingan peringkat kedua minggu depan.

Silva sekali lagi menjadi tonggak utama Chelsea dan tampil 27 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini.

Kenyataan kelab berkata: "Raheem Sterling, Reece James, N'Golo Kante dan Mason Mount semuanya berlatih, N'Golo dan Mason sebelum ini terlepas kunjungan ke Wolves.

"Thiago Silva turut berada di padang. Bintang Brazil itu terlepas tujuh perlawanan susulan kecederaan lutut dan tidak beraksi untuk Blues sejak Februari."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 8:55 AM