SAFEE (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen di antara PFAM yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail (dua, kiri) dan Skymatt Travel and Services. FOTO Bernama
SAFEE (kiri) menyaksikan pertukaran dokumen di antara PFAM yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail (dua, kiri) dan Skymatt Travel and Services. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) diingatkan agar tidak cuba bersembunyi mahupun lari daripada menunaikan tanggungjawab membayar tunggakan gaji pasukan masing-masing.

Sebaliknya Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) cukup serius dan akan mencari sehingga ke lubang cacing bagi menuntut hak dan membela nasib pemain bola sepak di negara ini daripada ditindas oleh pihak tertentu.

Keseriusan itu disuarakan Presiden PFAM, Safee Sali yang menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pasukan didapati culas menjalankan tanggungjawab.

Katanya, PFAM sentiasa bekerja rapat dengan Persekutuan Pemain Profesional Antarabangsa (FIFPro) bagi mendapatkan pandangan dan jalan penyelesaian bagi mencari titik noktah dan pendamaian.

Malah ujarnya, PFAM juga sudah mengheret isu tunggakan gaji dengan merujuk kepada Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan bersidang Khamis ini, babitkan kes tunggakan gaji Melaka United dan Sarawak United.

"Pihak PFAM sangat serius dalam menangani masalah ini dan kita cuba membawa masalah ini ke peringkat mahkamah dan sebagainya. NDRC pun kita dah membantu untuk adakan.

"Jadi dengan bantuan FIFPro...kita sentiasa ada bantuan komunikasi yang baik dengan ahli FIFPro, dan kita akan lebih tegas dalam membela hak-hak pemain dan tidak akan berundur dengan pendirian kita.

"6 haribulan (Khamis ini) akan ada mesyuarat NDRC, ini adalah kes yang pertama dalam Malaysia dan saya rasa sejarah juga lah. Ia menunjukkan betapa seriusnya PFAM dalam menangani masalah tunggakan gaji. Sebelum ini kita hanya mendengar perkara ini berulang-ulang kali.

"Jadi saya harap 6 haribulan ini ada penanda aras yang baik dan peringatan keras buat mana-mana pasukan yang tidak membayar gaji," katanya ketika ditemui pada majlis buka puasa dan majlis MOU bersama Skynet Travel untuk Program Ziarah Umrah PFAM, semalam.

Difahamkan, sekiranya Melaka United dan Sarawak United masih berdegil dan enggan mematuhi keputusan NDRC selepas ini, PFAM bakal mengheret isu terbabit ke mahkamah sivil.

Untuk rekod, sebelum ini dua kes babitkan pasukan Kuantan FA dan Marcerra United berjaya diselesaikan di peringkat mahkamah, dengan bekas majikan dua kelab terbabit berpotensi dipenjarakan jika masih berdegil untuk menjelaskan tunggakan berjumlah RM6 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 5:41 PM