FAISAL Halim antara tonggak penting Selangor FC. FOTO Bernama
FAISAL Halim antara tonggak penting Selangor FC. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kehadiran pemain kebangsaan dalam pasukan Liga Super boleh dikatakan sebagai penambah rencah dalam usaha membentuk skuad mantap untuk membantu meraih keputusan positif kelak.

Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, kebanyakan pemain yang mempunyai pengalaman bersama skuad kebangsaan kebiasaanya akan lebih matang dan cepat belajar apabila diterapkan taktikal baharu kepada mereka.

Beliau yang juga bekas pengendali Harimau Malaya berkata, kebanyakan pemain kebangsaan juga bertindak sebagai 'ketua' dalam pasukan apabila mereka juga boleh memimpin rakan sepasukan lain ketika di atas padang.

"Kebanyakan mereka yang beraksi untuk perlawanan antarabangsa bersama skuad kebangsaan sudah pasti sedikit sebanyak membantu meningkat keyakinan mereka ketika beraksi di Liga Super.

"Apa yang boleh saya katakan, pengalaman yang dimiliki pemain kebangsaan cukup penting untuk bawa pasukan ke tahap terbaik.

"Sebagai contoh, pasukan kita miliki ramai pemain muda namun dengan adunan tonggak kebangsaan dan senior memberikan keputusan positif," katanya.

Mengikut rekod, sekurang-kurangnya empat pemain Selangor FC beraksi bersama skuad Harimau Malaya dengan kehadiran mereka membantu Malaysia merekodkan dua kemenangan pada perlawanan persahabatan menentang Turkmenistan dan Hong Kong baru-baru ini.

Antara pemain berkenaan adalah ketua pasukan Selangor FC, Brendan Gan, Faisal Halim, Quentin Cheng dan Khuzaimi Piee.

Namun, bagi skuad bawah 22 tahun (B-22) negara pula menyaksikan Selangor FC paling ramai dipanggil menyertai pasukan iaitu membabitkan sembilan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 2:18 PM