CHENG Hoe (dua kanan) membariskan beberapa pemain baharu dalam kem skuad kebangsaan. FOTO Ihsan FAM
CHENG Hoe (dua kanan) membariskan beberapa pemain baharu dalam kem skuad kebangsaan. FOTO Ihsan FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Keputusan menyenaraikan barisan pemain muda dan baharu bakal menyaksikan pemilihan skuad Harimau Malaya lebih terbuka dan tidak lagi bergantung harap kepada tonggak daripada pasukan tertentu saja.

Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh berkata, inisiatif berkenaan sepatutnya sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi dengan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya memberi ruang dan peluang kepada pemain muda dan menyerlah di Liga Malaysia mewakili negara.

Beliau berkata, pemilihan pemain skuad kebangsaan sepatutnya memenuhi beberapa penanda aras, antaranya mempunyai minit permainan yang tinggi, beraksi cemerlang bersama pasukan dan komited setiap kali diturunkan mewakili kelab masing-masing.

Katanya, berbanding pemilihan sebelum ini menyaksikan pemain yang jarang diturunkan bersama kelab turut diberikan peluang beraksi bersama skuad Harimau Malaya atas kapasiti mereka bertaraf bintang.

"Saya sangat bersetuju dengan keputusan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe yang lebih bersifat terbuka dengan memanggil pemain muda dan baharu ke kem latihan.

"Malah, ada beberapa nama pemain senior seperti tonggak Kedah Darul Aman FC Baddrol Bakhtiar pula disenaraikan atas kapasiti prestasi terkini bersama pasukan yang cukup cemerlang.

"Kita mesti berani menyenaraikan pemain baharu yang sedia maklum mempamerkan aksi cemerlang bersama pasukan masing-masing dan jangan hanya bergantung pemain sama saja untuk mewakili negara," katanya, ketika dihubungi.

Terdahulu, kem negara akhirnya menyaksikan seramai enam tonggak muda bakal diberi peluang untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya menjelang dua aksi persahabatan kelas 'A' yang dijadual pada Oktober depan.

Menerusi pengumuman nama 24 pemain yang dipanggil, seramai enam muka baharu akan diuji Cheng Hoe dengan memanggil dua pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar dan Mukhairi Ajmal Mahadi; dua pemain Penang FC, Quentin Cheng dan Al Hafiz Harun; penjaga gol PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi serta pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah.

Malah daripada senarai penuh itu, Cheng Hoe juga mengurangkan jumlah JDT kepada lima sahaja daripada separuh pemain yang mengisi skuad sebelum ini.

Daripada senarai itu, barisan jurulatih negara hanya mengekalkan 12 pemain dari kem latihan pusat terdahulu pada Mei dan Jun lalu iaitu ketika menghadapi baki tiga aksi Kumpulan G, Pusingan dua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, UAE.

Selain itu, Serbegeth berkata, penyokong dan pemerhati bola sepak jangan meletakkan harapan tinggi untuk skuad Harimau Malaya memperoleh keputusan positif pada dua perlawanan persahabatan terbabit.

"Ada antara pemain berkenaan kali pertama diturunkan bersama skuad kebangsaan sudah tentu mengambil masa untuk serasi antara rakan sepasukan.

"Namun, mungkin kita akan melihat corak permainan berbeza kali ini kerana mereka sudah tentu akan mempamerkan aksi terbaik untuk terus disenaraikan dalam skuad kebangsaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 4:59 PM