FAISAL (kiri) melakukan hantaran ketika menentang Turkmenistan pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa  di Stadium Sultan Ibrahim semalam.
FAISAL (kiri) melakukan hantaran ketika menentang Turkmenistan pada Perlawanan Persahabatan Antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim semalam.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun meraih kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui pemainnya terpaksa berdepan cabaran corak permainan fizikal yang dipamerkan skuad kendalian Mergen Orazov pada aksi perlawanan antarabangsa Tier-1 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Tambahnya skuad Turkmenistan tampak hadir dengan persiapan yang rapi berbanding ketika aksi bulan Jun lalu tatkala kerap memberi tekanan terhadap benteng pertahanan Harimau Malaya yang perlu bekerja keras pada perlawanan itu.

"Ia perlawanan sukar bagi kami dan cuba bermain dengan mengamal corak tekanan tinggi terhadap mereka dan ada ketika kita membuat kesilapan tapi pantas memperbetulkan keadaan malah kerap melakukan gerakan berbahaya ke atas benteng lawan.

"Banyak peluang kita ada untuk jaringkan gol, sekurang-kurang tiga atau empat gol tapi kecekapan penjaga gol (Rasul Charyyev) menafikan beberapa peluang yang sepatutnya menerjah jaring dan itu yang menghalang kita menang dengan lebih selesa.

"Persoalannya, mampukah kita mengekalkan corak permainan yang tersusun seperti yang dipamerkan pada perlawanan itu tadi, sebaliknya saya mahukan konsistensi permainan dan pemain perlu kekalkan kekuatan mental dan disiplin supaya kurangkan kesilapan.

"Ada pemain yang mengalami kekejangan dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana saya mahukan corak permainan pantas dan sentiasa bola bergerak untuk kelancaran permainan dan apa yang berlaku seperti kekejangan dan tahap kecergasan tidak memuaskan tidak boleh ada di kalangan pemain," katanya.

Pan Gon menambah ada di kalangan pemain tidak mampu mengimbangi kepantasan permainan yang diterapkan malah mereka perlu segera bangkit dan menyesuaikan dengan kehendak untuk bermain dengan falsafah permainan yang dipraktikkan.

Tambahnya, kekuatan fizikal dan tahap kecergasan amat penting namun beliau sedar saingan Liga Malaysia (Liga M) yang baru bermula dan pemain hanya beraksi beberapa perlawanan dan kemungkinan tahap kecergasan pemain akan lebih mantap pada bulan Jun hingga September apabila pemain berada di kemuncak kecergasan.

Beliau juga akan memastikan ketepatan umpanan bola lebih berkesan berbanding pada aksi menentang Turkmenistan kerana ia penting bagi memastikan corak permainan yang lebih tersusun dan membolehkan pemain bergerak dengan bola dan tidak tercicir yang memudahkan pasukan lawan mengawal permainan.

"Harus perbaiki dari aspek umpanan bola kerana kami inginkan lebih baik daripada apa yang pemain lakukan ketika beraksi malah ia perlu segera dimantapkan lagi tatkala kita akan menentang pasukan yang lebih baik pada aksi pusingan akhir Piala Asia nanti."

Mengenai penampilan pertama Feroz (Baharuddin), Endrick (Dos Santos, Fayadh (Zulkifli), Nooa Laine, Paulo (Josue) tampak masih bergelut untuk menyerap corak taktikal yang praktikkan tapi saya akan bantu mereka untuk menyesuaikan diri secepat mungkin," kata Pan Gon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 10:00 AM