AKHYAR mengasak gawang Turkmenistan. FOTO FAM
AKHYAR mengasak gawang Turkmenistan. FOTO FAM
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Skuad Harimau Malaya mengotakan janji untuk mencipta kemenangan apabila menewaskan Turkmenistan 1-0 pada perlawanan antarabangsa Tier-1 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Jaringan tunggal Akhyar Rashid pada babak pertama membuktikan betapa skuad Harimau Malaya yang menang 3-1 ke atas Turkmenistan pada aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, 8 Jun lalu bukan sekadar nasib semata-mata malah aksi dipamerkan skuad kendalian Kim Pan Gon pada perlawanan persahabatan antarabangsa tampak lebih bertenaga.

Pada pertembungan itu agak menarik apabila Pan Gon seolah-olah mahu`menyimpan' Arif Aiman Hanapi untuk aksi kedua menentang Hong Kong, Selasa ini selepas tidak tersenarai dalam kesebelasan utama mahupun di bangku simpanan, sebaliknya mempertarunkan gandingan Paulo Josue dan Endrick Dos Santos mengemudi jentera tengah.

Seawal minit kedua, anak didik Mergen Orazov mengundang cemas gawang Harimau Malaya selepas bola rembatan deras Resul Hojayev tersasar sedikit sebelah kiri gol tuan rumah yang hampir menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Walaupun Turkmenistan hanya tiba sehari sebelum perlawanan namun mereka membentuk corak permainan pantas dan sekali lagi hampir mengundang gol buat pelawat pada minit ke-11 tapi sempat dihalang Ahmad Syihan ketika Ruslan Mingazov hampir menyambar peluang terhidang.

Hanya pada minit ke-23, baru Harimau Malaya mula menguji gawang Turkmenistan apabila bola sepakan sudut Faisal Halim tepat kepada Paulo Josue yang menanduk tepat ke gawang tapi penjaga gol, Rasul Charyyev sempat menepis keluar.

Selang tiga minit kemudian, sepakan percuma Harimau Malaya oleh kapten Dion Cools dari jarak 20 meter menyaksikan Charyyev bertindak cemerlang melayangkan badan untuk menepis bola keluar.

Namun Charyyev akhirnya tertewas pada minit ke-29 apabila bola lorongan Corbin Ong membuka ruang buat Akhyar yang berjaya melepasi kawalan pertahanan Turkmenistan di posisi sayap kiri sebelum menyusup masuk ke dalam kotak dan pantas melencongkan bola ke sudut kiri gawang untuk meletak Harimau Malaya mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, Pan Gon membuat pertukaran apabila memasukkan Nooa Laine yang meraih kap pertamanya bagi menggantikan Dos Santos untuk mengemudi jentera tengah.

Ketika aksi memasuki minit ke-48, Harimau Malaya terlepas peluang terbaik menambah gol selepas bola sepakan lintang Faisal membolehkan Akhyar yang tidak dikawal melakukan sepakan akrobatik tapi sempat ditampan Charyyev.

Sekali lagi tuan rumah kecewa apabila hasrat menambah jaringan gagal dijelmakan pada minit ke-62 selepas bola ditanduk Laine memberi ruang buat Faisal yang melakukan sepakan `voli' tapi hanya sipi di sebelah kiri gawang ketika Charyyev sudah tertewas.

Malang buat Faisal yang masih kebuntuan jaringan selepas memiliki dua percubaan berturut-turut pada minit ke-72 berjaya dinafikan Charyyev yang bertindak cemerlang bagi mengelak gawangnya dibolosi dan kedudukan 1-0 memihak Harimau Malaya kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 12:01 AM