COOLS ketika menjawab soalan menjelang perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan di sebuah hotel hari ini. FOTO Bernama
COOLS ketika menjawab soalan menjelang perlawanan persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan di sebuah hotel hari ini. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kapten Harimau Malaya, Dion Cools mengingatkan rakan sepasukan agar tidak gopoh dan melakukan kesilapan mudah yang membolehkan Turkmenistan mengambil kesempatan untuk mencipta gol apabila kedua-dua pasukan bertembung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Cools yang beraksi bersama kelab Buriram United di Liga 1 Thailand turut menuntut barisan pemain Harimau Malaya memberi sepenuh tumpuan dan mempraktikkan pendekatan taktikal yang dirancang oleh ketua jurulatih, Kim Pan Gon pada aksi perlawanan antarabangsa Tier-1.

Tambah pemain warisan pernah beraksi untuk pasukan Bawah 21 tahun, Belgium menyatakan kesemua pemain Harimau Malaya yang menjalani latihan di Pusat Latihan Johor Darul Ta'zim (JDT), Padang Seri Gelam, di sini tampak berada di tahap terbaik dan bersemangat untuk berdepan Turkmenistan buat kali kedua selepas menang 3-1 pada aksi Kelayakan Piala Asia, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

"Masih segar di ingatan mengenai perlawanan itu, kita bermula agresif dan berjaya mengejutkan lawan. Satu-satunya gol yang dijaringkan pihak lawan adalah berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan sendiri.

"Sudah pasti mereka akan belajar daripada perlawanan itu dan menganalisa corak permainan kita yang bermula dengan agresif.

"Sebagai pemain pertahanan, kita harus mengelakkan daripada melakukan kesilapan dan tidak membenarkan gawang dibolosi dalam masa sama membantu jentera serangan memanfaatkan semua peluang serangan untuk menghasilkan gol," katanya pada sidang akhbar di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Malaysia akan berdepan dengan Turkmenistan, pasukan yang berada di ranking ke-135, lebih tinggi berbanding Malaysia yang di kedudukan ke-145.

Cools menambah, langkah Pan Gon membawa pemain pertahanan yang berkualiti termasuk pemain muda seperti Feroz Baharudin yang mendapat panggilan buat pertama kali adalah tepat memandangkan pemain JDT itu menunjukkan kredibiliti selaku pemain berkualiti.

Katanya, kesemua pemain sudah bersedia untuk beraksi pada perlawanan tersebut selepas mempamerkan kesungguhan sepanjang kem latihan berlangsung.

"Bukan sahaja Feroz, saya lihat pemain yang di panggil kali ini mempunyai kualiti yang ketua jurulatih mahukan, saya percaya hasrat Pan Gon untuk menjadi pasukan yang lebih baik mampu tercapai dan saya serta rakan sepasukan perlu beraksi konsisten.

"Berbekalkan pengalaman beraksi kelab di Eropah termasuk Liga Thailand yang baru disertai, saya akan membantu sebaik mungkin untuk membantu rakan pasukan mencapai kemenangan kerana kita tahu pasukan lawan hadir untuk membalas dendam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 3:56 PM