AKSI Corbin Ong ketika menentang Hong Kong. FOTO FAM
AKSI Corbin Ong ketika menentang Hong Kong. FOTO FAM
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pemain bek kiri Harimau Malaya, La'Vere Corbin-Ong tampak berpuas hati dapat membantu pasukan itu menamatkan kem latihan pusat dengan melakar dua kemenangan apabila menewaskan Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Pemain warisan itu bukan sahaja membantu Akhyar Rashid menjaringkan gol menerusi bola umpanannya ketika menentang Turkmenistan, Khamis lalu malah memainkan peranan penting di posisi bek kiri bagi menghalang gerakan berbahaya pasukan lawan termasuk Hong Kong pada pertembungan itu.

Corbin-Ong berkata, gaya permainan menyerang pasukan skuad kebangsaan ada peningkatan biarpun masih belum mencapai kehendak ketua jurulatih, Kim Pan Gon tapi kesemua pemain melaksanakan misi untuk meraih kemenangan dalam dua perlawanan antarabangsa itu.

Malah katanya, benteng pertahanan membentuk persefahaman yang mantap apabila berjaya mengelak gawang Harimau Malaya dibolosi sepanjang dua pertembungan itu.

"Pada perlawanan pertama (Turkmenistan), kita mampu mencipta lebih banyak jaringan dan ketika menentang Hong Kong malam tadi, jentera serangan kita lebih tajam dengan meledak dua gol malah saya anggap ia aksi terbaik skuad kebangsaan.

"Walaupun perlu ada peningkatan, tapi secara keseluruhan saya tetap berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan pada dua perlawanan itu. Mungkin ada beberapa kelemahan namun ia tidak serius.

"Dalam perlawanan itu, saya juga kerap naik ke atas membantu jentera serangan, ada masanya membuat larian bagi mengucar-ngacirkan benteng lawan untuk mengumpan bola kepada penyerang serta melakukan hantaran ke dalam kotak penalti," kata Corbin-Ong.

Katanya, ini hasil latihan intensif yang dilakukan semasa kem latihan di pusat latihan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang diterjemahkan sebaiknya di atas padang.

"Pada perlawanan itu, pemain di bahagian sayap juga turut membantu ketika bertahan, mereka tahu tugas masing-masing ketika diasak lawan. Ini menunjukkan kemajuan dalam pasukan yang boleh menjadi lebih baik.

"Perlawanan ini akan dianalisa untuk mengesan kelemahan yang ada dan mencari jalan untuk perbaiki bahagian itu pada perlawanan yang akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 9:43 PM