PEMAIN Kuching City FC melakukan terjahan keras ke atas pemain Sri Pahang FC. FOTO Bernama
PEMAIN Kuching City FC melakukan terjahan keras ke atas pemain Sri Pahang FC. FOTO Bernama
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui skuad itu tidak beraksi pada tahap terbaik walaupun berjaya menewaskan Kuching City FC 1-0 di Stadium Negeri, semalam.

Lagenda bola sepak Singapura itu berkata, kelemahan masih lagi dipersembahkan anak buahnya terutama di bahagian tengah.

"Bagaimanapun, saya gembira kerana pasukan mencatat kemenangan terutama mereka bangkit pada babak kedua dengan prestasi dan corak permainan lebih baik.

"Pada 25 minit pertama perlawanan, tuan rumah lebih banyak memberi tekanan kepada pasukan yang menyebabkan kita menukar formasi 4-3-3 kepada 5-3-2. Kuching City tidak berputus asa dan memberikan tekanan tetapi pemain berjaya mengawal permainan," katanya.

Pada perlawanan itu, pemain tengah, Nor Azam Azih muncul wira selepas jaringan tunggal pada minit ke-57 memastikan tiga mata buat skuad Tok Gajah.

Kemenangan itu menyaksikan Sri Pahang kekal berada di kedudukan ketiga dengan mengutip 19 mata daripada sembilan perlawanan. Lebih membanggakan, skuad itu kekal mempertahankan rekod tanpa kalah setakat ini.

Fandi turut memuji komitmen semua pemain biarpun tanpa empat pemain utama yang berdepan masalah kecederaan. Katanya, kerja keras yang dilakukan semua pemain memastikan Sri Pahang mencatat kemenangan sekali gus mempertahankan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super.

"Saya harap sebaik liga bersambung selepas Aidilfitri ini, mereka akan bermain dengan lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 1:48 PM