RASHFORD (tiga kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
RASHFORD (tiga kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

Seville: Gol melencong Marcus Rashford dari jarak jauh membolehkan Manchester United menang 1-0 di Real Betis, awal pagi tadi sekali gus mara ke suku akhir Liga Europa menerusi agregat 5-1.

Juara tiga kali, Juventus pula meraih kemenangan 2-0 ke atas Freiburg yang beraksi dengan 10 pemain untuk mara dengan agregat 3-0 menerusi jaringan Dusan Vlahovic dan Federico Chiesa.

Pemenang enam kali, Sevilla mengalami kekalahan 0-1 di Fenerbahce apabila Enner Valencia menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, namun masih layak dengan agregat 2-1.

Jaringan Rashford pada awal separuh masa kedua mematahkan aksi bertenaga Betis di awal saingan.

"Sebaik sahaja anda menjaringkan gol pertama, mereka mula hilang rentak dan kurang keyakinan.

"Ia satu lagi langkah (ke hadapan) daripada aspek mentaliti iaitu sikap mahukan kemenangan," kata jurulatih Manchester United, Erik ten Hag.

Ten Hag memberikan pemain sayap berusia 21 tahun, Facundo Pellistri, permulaan pertamanya untuk kelab itu di Seville, selepas beberapa penampilan cemerlang dari bangku simpanan.

Ia adalah gol keenam Rashford dalam kejohanan itu dan gol peribadi ke-27 dalam semua pertandingan musim ini di sepanjang 43 penampilan.

"Rashford mempunyai beberapa peluang sebelum itu, tetapi dia kekal percaya serta terus mencuba dan akhirnya memperoleh ganjaran," kata Ten Hag.

Sementara itu jurulatih Betis, Manuel Pellegrini berkata: "Apabila kami melihat undian perlawanan, kami sedar akan berdepan lawan paling sukar dalam Liga Europa, dengan bajet yang besar disediakan untuk Liga Juara-Juara.

"Dalam perlawanan kedua ini, kami mempunyai tiga peluang tepat manakala lawan hanya mempunyai satu peluang dan kemudian bertahan. Apapun, saya bangga dengan pasukan saya, yang tidak mengubah identitinya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 7:23 AM