KEPUTUSAN undian peringkat 16 Liga Europa di Nyon. FOTO AFP
KEPUTUSAN undian peringkat 16 Liga Europa di Nyon. FOTO AFP
Reuters

Nyon, Switzerland: Manchester United diundi menentang satu lagi pasukan dari Sepanyol, Real Betis di peringkat 16 terakhir Liga Europa manakala pendahulu Liga Perdana, Arsenal berentap dengan wakil Portugal, Sporting.

United dalam aksi playoff menewaskan gergasi La Liga, Barcelona dengan agregat 4-3 hasil kemenangan 2-1 di Old Trafford dan berpeluang menjulang empat trofi musim ini selepas mempamerkan peningkatan mendadak di bawah kendalian Erik ten Hag.

Skuad Inggeris itu memburu trofi pertama mereka sejak menjuarai Liga Europa ketika era Jose Mourinho yang ketika ini menjadi jurulatih AS Roma yang akan menentang Real Socieded dalam aksi 16 terakhir.

Arsenal pula cemerlang di peringkat kumpulan Liga Europa dengan memenangi lima daripada enam perlawanan dan akan menentang Sporting yang mengatasi cabaran wakil Denmark, FC Midtjylland dalam aksi playoff.

Gergasi Serie A Juventus turut mara menerusi playoff selepas menewaskan Nantes hasil hatrik penyerang Argentina, Angel Di Maria dalam aksi peringkat kedua di Perancis dan akan menentang kelab Jerman, Freiburg dalam peringkat 16 terakhir.

Perlawanan peringkat pertama berlangsung pada 9 Mac disusuli peringkat kedua 16 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 8:38 PM