WOUT Weghorst (kiri) meledakkan gol keempat United. FOTO AFP
WOUT Weghorst (kiri) meledakkan gol keempat United. FOTO AFP
AFP

Manchester: Manchester United bangkit daripada kekalahan bersejarah kepada Liverpool untuk menewaskan Real Betis 4-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Europa.

United menyamai kekalahan terburuk mereka sejak 1931 apabila tewas 0-7 di Anfield Ahad lalu.

Erik ten Hag menurunkan kesebelasan yang sama dan nyata percaturannya membuahkan hasil apabila pemain memberikan aksi terbaik.

"Anda lihat bagaimana pemain bertindak balas selepas kekalahan itu," kata Ten Hag.

"Ini bukan kali pertama musim ini, saya rasa anda melihat lima atau enam kali kami menyusun kembali rentak dan bangkit semula.

"Pasukan ini mempunyai karakter, jadi satu pujian buat mereka," kata Ten Hag.

Marcus Rashford membuka jaringan untuk gol ke-26nya musim ini, tetapi Betis menyamakan kedudukan menerusi Ayoze Perez.

Dua bintang United yang mendapat kritikan paling teruk sejak beberapa hari lalu, tampil cemerlang selepas rehat.

Antony melencongkan bola untuk kembali meletakkan United di depan sebelum Bruno Fernandes, yang Ten Hag letakkan sebagai kapten sekali lagi, menanduk masuk sepakan sudut Luke Shaw.

"Bruno amat cemerlang hari ini. Dia menerajui pasukan dari minit pertama, menetapkan corak permainan dan menjaringkan gol, jadi saya amat gembira," kata pengendali dari Belanda itu.

Wout Weghorst kemudian menjaringkan gol keduanya selepas 15 penampilan untuk United ketika permainan berbaki enam minit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 8:32 AM