PEMAIN TFC perlu waspada berdepan Kuching City FC. FOTO GHAZALI KORI
PEMAIN TFC perlu waspada berdepan Kuching City FC. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Rekod bersih Terengganu FC (TFC) tanpa tewas dalam enam aksi terakhir Liga Super bakal menjadi azimat berharga buat skuad itu untuk berdepan Kuching City FC (KCFC) di Stadium Negeri, Kuching, petang esok.

Begitupun tugas untuk memburu tiga mata bukan semudah melakar perancangan di atas kertas, sebaliknya laluan berliku buat pemain skuad Penyu apatah lagi beraksi pada waktu petang.

Tambahan pula skuad bimbingan jurulatih baharu dari Singapura, Aidil Sharin Sahak, pastinya tidak mahu 'berputih mata' beraksi di tempat sendiri.

Perkara itu diakui penolong jurulatih skuad Penyu, Badrul Afzan Razali yang bakal menggalas tugas pengemudi sementara pasukan itu selepas ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner masih berada di Croatia mengurus perkahwinan anaknya.

"Apa yang saya mahukan daripada pemain mereka perlu kekal fokus sepanjang 90 minit bagi memastikan tiga mata menjadi milik kami biarpun sedar tugas itu bukan mudah.

"Pemain juga diingatkan mencari jaringan awal bagi menambah keyakinan selain perlu bijak menyerap tekanan agar tidak terjerat dengan taktikal pihak lawan.

"Sebarang kealpaan bakal mengundang padah kerana permainan tidak semudah melakar perancangan, jadi seboleh-bolehnya elakkan daripada melakukan kesilapan mudah selain beraksi sebagai satu pasukan," kata Badrul Afzan yang menegaskan skuadnya tidak boleh kehilangan mata lagi untuk mencabar kedudukan ketiga teratas liga.

Dalam pada itu jurulatih berusia 47 tahun itu lega apabila kapten, Habib Haroon sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring, begitu juga dengan penyerang import Thailand, Adisak Kraisorn.

Bagaimanapun beliau tidak akan membawa Adisak serta dua lagi import, Jordan Mintah dan Argzim Redzovic ke Kuching, sebaliknya menyandarkan harapan kepada Sardor Kulmatov untuk mengemudi jentera pertahanan selain Ivan Mamut dan Habib masing-masing mengemudi bahagian serangan serta tengah pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 11:56 AM