Pemain TFC II, Argzim Redzovic (tiga kiri) menanduk bola sambil diasak pemain NSFC, Alain Konno pada perlawanan Liga Perdana. FOTO Ghazali Kori
Pemain TFC II, Argzim Redzovic (tiga kiri) menanduk bola sambil diasak pemain NSFC, Alain Konno pada perlawanan Liga Perdana. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun kempunan untuk berada di tangga teratas Liga Perdana, Negeri Sembilan FC (NSFC) masih berada pada landasan terbaik untuk memburu tempat ke saingan Liga Super musim depan.

Justeru jurulatih NSFC, K Devan mengingatkan anak buahnya agar tidak keciciran mata dalam baki tujuh perlawanan lagi.

"Fokus kita layak ke saingan Liga Super musim depan, dengan baki tujuh perlawanan lagi kita belum panik dan masih berada pada landasan terbaik untuk memburu dua kelompok teratas liga.

"Jadi kita perlu buat kerja rumah dengan menyusun semula strategi dalam perlawanan seterusnya bagi mengutip seberapa banyak mata," katanya selepas tamat perlawanan bertemu Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi yang berkesudahan skuad Hobin Jang Hobin tewas 0-1.

Mengulas perlawanan itu, Devan akui secara keseluruhan anak buahnya beraksi dengan baik bermula pada babak pertama dengan kental bertahan selain mencipta gerakan untuk memburu gol dalam aksi yang seimbang itu.

"Namun satu kesilapan pertahanan pada babak kedua membawa padah apabila sepakan percuma yang diambil penyerang lawan, Jordan Mintah gagal diselamatkan penjaga gol pada minit ke-66.

"Kita cuba bangkit mencari gol penyamaan dengan perubahan taktikal, tapi peluang terhidang gagal dilaksanakan dengan baik oleh penyerang yang dilihat kurang persefahaman dan keserasian sekali gus kita hilang satu mata," katanya.

Sementara itu pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali menyifatkan kemenangan itu begitu berharga selepas pemainnya berjaya menyerap asakan lawan selain bijak memanfaatkan peluang dengan jaringan.

"Kemenangan yang begitu dramatik, lebih menggembirakan kami berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 12 perlawanan dengan pemain beraksi baik walaupun mendapat tekanan daripada pihak lawan bermula pada awal permainan lagi," katanya.

TFC yang bakal bertandang ke Stadium Sultan Muhammad ke-IV, bertemu Kelantan FC Sabtu ini kini mengumpul 22 mata, ketinggalan satu mata berbanding NSFC di tempat kedua dan dua mata dengan pendahulu, Sarawak United.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 6:15 PM