Badrul Afzan Razali. -FOTO Malik Muhamad
Badrul Afzan Razali. -FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Semangat melawan kental diperagakan pemain Terengganu FC II (TFC II) walaupun beraksi tanpa kelibat tonggak import adalah faktor utama skuad The Turtles itu berjaya merakam kemenangan menumpaskan Kuching City FC (KCFC) 1-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad kendalian jurulatih muda meningkat naik, Badrul Afzan Razali gah menduduki tangga teratas carta liga buat kali pertama musim ini.

Badrul Afzan berkata, beliau tabik terhadap anak buahnya yang mampu memperagakan aksi terbaik dan konsisten sepanjang perlawanan walaupun tanpa tonggak import berbanding lawan yang menurunkan empat bintang import mereka.

"Pemain bermain bermati-matian pada malam ini (malam tadi) walaupun tanpa tonggak pemain import, mereka berjaya merakam kemenangan berharga di tempat sendiri selepas tumpas 0-3 kepada UiTM FC, Sabtu lalu.

"Hasil analisis, resipi utama kejayaan kita pada malam ini (malam tadi) adalah semangat berpasukan yang ditunjukkan pemain yang tidak mahu 'berputih mata' buat kali kedua berturut-turut, akhirnya mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik dan berkesan.

"Namun walaupun kami berada di kedudukan teratas liga buat kali pertama musim ini, tapi saya ingatkan mereka supaya terus bekerja keras dan tidak cepat selesa kerana impian kita sudah tentu untuk mempertahankan kedudukan itu sehingga berakhir liga," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan malam tadi.

Dalam perlawanan itu, pemain pertahanan skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), Safwan Mazlan muncul wira pasukannya apabila tandukannya pada minit ke-78 menerjah jaring gol skuad The Cats.

Ketika ditanya adakah beliau terkesan tanpa penyerang import, Jordan Mintah yang kini dipinjamkan kepada juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Badrul Afzan tanpa berselindung akui sedikit terkesan lebih-lebih lagi skuadnya berada di landasan terbaik untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga berbanding tempat ketiga musim lalu.

Berdasarkan kedudukan dalam carta liga, skuad The Turtles kini menghuni di tangga teratas liga berkongsi 22 mata dengan pasukan jiran, Kelantan FC, bagaimanapun kelebihan lima jaringan berbanding skuad The Red Warriors yang meledak 15 gol menyaksikan skuad TFC II berada di persada liga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 12:57 PM