PEMAIN TFC II giat menjalani latihan sebelum berdepan PDRM FC malam esok di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Ihsan TFC
PEMAIN TFC II giat menjalani latihan sebelum berdepan PDRM FC malam esok di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Skuad Terengganu FC II (TFC II) turun dengan misi untuk 'membedil' PDRM FC bagi memastikan misi tiga mata dapat dicapai pada aksi kedua Liga Perdana di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Pengendalinya, Badrul Afzan Razali berkata, misi itu bakal dicapai jika anak buahnya kekal fokus sepanjang 90 minit selain perlu mencipta lebih banyak gerakan untuk menghasilkan jaringan bermula wisel pertama ditiupkan.

"Saya percaya jika pemain mengubah corak permainan dengan aksi lebih meningkat berbanding kurang menonjol ketika menumpaskan Perak FC 3-0, misi kita bakal tercapai.

"Bagaimanapun saya ingatkan pemain agar dapat 'merantai' dua penyerang import mereka, Martin Adamec dan Mirbek Akhmataliev yang dilihat bakal menjadi ancaman untuk kita mengutip mata penuh.

"Pemain juga diingatkan tidak terlalu yakin dan tidak memandang mudah pasukan lawan yang mungkin boleh membawa padah, sebaliknya mereka harus kekal fokus dan beraksi mengikut taktikal yang dirancang kerana peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang untuk memburu kemenangan," katanya ketika dihubungi.

Mengulas ketiadaan pemain tengah, Petrus Shetembi dan pertahanan, Argzim Redzovic yang bakal beraksi bersama skuad 'abang', Terengganu FC (TFC), jurulatih meningkat naik itu tidak begitu bimbang kerana penggantinya juga boleh diharapkan berdepan skuad The Cops itu.

Katanya, kehadiran pertahanan import, Pape Diakite, pemain tengah bertahan, Luke Woodland selain penyerang, Jordan Mintah bakal menambah sengat pasukannya untuk memburu kemenangan kedua dalam pentas liga.

"Walaupun tanpa Redzovic dan Shetembi yang membantu pasukan ketika menumpaskan Perak FC pada 25 Mac lalu, Diakite akan mengetuai jentera pertahanan selain Woodland yang sudah sembuh daripada kecederaan.

"Manakala penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Mintah sudah pasti berperanan sebagai penjaring gol, namun pesanan saya kepada semua pemain agar tidak terlalu gopoh atau ghairah di depan pintu gol bagi mengelak peluang yang dicipta gagal disudahkan dengan jaringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 2:27 PM