Nafuzi Zain (kanan) bersama pemain pertahanan, Ariff Farhan pada sidang media di Stadium Darul Aman, hari ini. FOTO Izzali Ismail
Nafuzi Zain (kanan) bersama pemain pertahanan, Ariff Farhan pada sidang media di Stadium Darul Aman, hari ini. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) perlu mengambil sikap lebih waspada apabila melayan kunjungan skuad PDRM FC pada aksi ketiga saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam esok.

Menurut pengendali Sang Kenari, Nafuzi Zain, rekod tanpa kemenangan PDRM FC itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk Sang Kenari mengambil jalan mudah pada aksi di laman sendiri kali ini.

Baginya, skuad The Cops kendalian Azzmi Ab Aziz pasti mengintai peluang yang lebih baik mencari mata berharga selepas tewas 0-4 kepada Sabah FC dan seri tanpa jaringan ketika berdepan Perak FC pada 28 Februari lalu.

"Kita tahu PDRM FC tewas kepada Sabah FC pada perlawanan pertama lalu dan mereka juga meningkatkan permainan dengan mengikat Perak FC sebelum ini.

"Antara tonggak utama yang berpengalaman seperti Bruno Suzuki dan Uche Agba serta beberapa pemain tempatan mereka sudah pasti mampu menjadi pemain yang boleh memberi ancaman buat kubu Kedah.

"Jadi saya berharap pemain Kedah tidak akan ambil mudah dalam misi mendapatkan tiga mata. Kita perlu teruskan fokus untuk mengekalkan momentum kemenangan yang diperolehi dari dua kemenangan lalu, dan kerana kita bermain di tempat sendiri kita tidak boleh mencicirkan mata," katanya.

Dalam pada itu, Nafuzi juga tidak menolak melakukan beberapa perubahan termasuk menggandingkan dua penyerang iaitu Willian Lira dan Jonathan Balotelli pada kesebelasan utama pada aksi menentang PDRM FC bagi memberi peluang menajamkan jentera serangan.

"Memang gandingan itu ada dalam perancangan saya tetapi hanya menunggu masa yang sesuai untuk diturunkan, mungkin esok atau perlawanan lain selepas ini, ia bergantung kepada keperluan pada sesuatu masa itu.

"Peluang untuk membuat penggiliran juga ada kerana kita melalui fasa jadual yang padat sekarang ini dan selepas perlawanan ini kita akan membuat persiapan dalam saingan Piala FA menentang Penang FC dan kita tahu itu pun perlawanan yang sukar buat kami.

"Saya akan melihat kesebelasan utama yang terbaik yang dapat diturunkan pada aksi ini bagi memastikan KDA FC meneruskan momentum kemenangan di laman sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 7:21 PM