HOWE menenangkan pemainnya selepas tewas kepada United pada final Piala Liga.
HOWE menenangkan pemainnya selepas tewas kepada United pada final Piala Liga.
Agensi

London: Newcastle United kembali beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester City malam esok dan Eddie Howe mempunyai tugas berat menaikkan semula semangat pemainnya susulan kekecewaan minggu lalu.

Howe berharap anak buahnya tidak terlalu dihantui dengan kegagalan menjuarai Piala Liga dan pengendali itu pasti mengharapkan pengalaman Kieran Trippier selain berusaha menyegarkan semula skuadnya.

Newcastle kurang membuat pertukaran sejak Piala Dunia. Howe mempunyai 13 atau pemain yang tampil dalam barisan kesebelasan dan jelas ada di antara mereka perlu direhatkan.

Bos The Toon itu kini mempunyai beberapa pilihan selepas kehadiran Anthony Gordon bulan lalu yang dibeli dengan harga £45 juta (RM240 juta) dari Everton tetapi tidak beraksi pada final Piala Liga.

Howe dijangka menurunkan Gordon yang berusia 22 tahun untuk penampilan pertamanya bersama Newcastle di Etihad malam esok.

Newcastle perlukan tenaga segar serta idea berbeza dan Gordon mempunyai ciri-ciri diperlukan bagi menggantikan tempat Allan Saint-Maximin atau Miguel Almiron yang perlu direhatkan.

Ketika Maxi gagal menyerlah di Wembley, dia masih mampu menyengat musim ini dan berpeluang membuktikannya ketika menentang City.

Miggy pula jelas perlukan rehat. Walaupun banyak membantu pasukannya, dia semakin kurang berkesan di sebelah kanan sekali gus memberi peluang kepada Gordon untuk beraksi malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 11:23 AM