MATIP pulih kecederaan otot.
MATIP pulih kecederaan otot.
Agensi

London: Liverpool mendapat suntikan moral menjelang aksi menentang Newcastle United awal pagi Khamis ini dengan kembalinya tiga pemain menjalani latihan semalam.

Pemain tengah Joel Matip tampak ceria berlatih di pusat latihan AXA di Kirkby bersama rakan sepasukan lain.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak beraksi ketika seri dengan Fulham pada aksi pembukaan di Craven Cottage tetapi kini sedia mendapatkan tempat semula selepas pulih kecederaan otot.

Sama ada dia cukup cergas untuk mengetepikan Joe Gomez yang cemerlang bergandingan dengan Virgil van Dijk ketika Liverpool membelasah Bournemouth 9-0 masih perlu dinilai.

Jurgen Klopp juga mempunyai pilihan di bahagian tengah dengan kehadiran semula Curtis Jones yang masih belum beraksi musim ini selepas berdepan kecederaan ketika aksi pra musim.

Tetapi tanpa Thiago Alcantara, Alex Oxlade-Chamberlain dan Naby Keita yang masih belum pulih, kehadiran semula Jones tepat pada masanya.

Turut turun berlatih ialah pemain baharu ditandatangani, Calvin Ramsay. Pemain pertahanan muda berusia 19 tahun itu semakin pulih selepas berdepan kecederaan kecil ketika penilaian perubatan ke atasnya.

Dalam pada itu, Newcastle mungkin bertandang ke Anfield tanpa beberapa pemain utama termasuk Bruno Guimaraes, Callum Wilson dan Allan Saint-Maximin yang mengalami kecederaan.

Guimaraes sepatutnya beraksi ketika seri 1-1 menentang Wolves di The Molineux tetapi terpaksa menarik diri sebelum sepak mula susulan kecederaan dan menurut pengurus Magpies, Eddie Howe pemain tengah itu tidak cukup cergas berdepan Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 9:43 AM