ENDRICK bersorak meraikan jaringannya yang membantu JDT menang 3-0 ke atas KL City, malam tadi. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
ENDRICK bersorak meraikan jaringannya yang membantu JDT menang 3-0 ke atas KL City, malam tadi. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Menjaringkan gol pada penampilan sulung ibarat satu impian menjadi kenyataan buat pemain terbaharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Endrick Dos Santos.

Dia yang mengambil tempat Afiq Fazail di posisi tengah untuk berada dalam kesebelasan utama, menyempurnakan umpanan dari Fernando Forestieri dengan tandukan menarik pada minit-52.

Namun, pemain naturalisasi terbaharu negara itu tidak mahu mendabik dada kerana apa yang paling penting ialah kejayaan meraih tiga mata pertama di laman lawan.

"Sudah tentu saya sangat gembira kerana dapat menjaringkan gol, tetapi secara keseluruhan, persembahan pasukan sangat baik untuk hari ini (malam tadi).

"Untuk diri sendiri, saya sangat berpuas hati kerana dapat membantu dengan jaringan pada perlawanan pertama bersama pasukan dan dapat membawa pulang tiga mata ke Johor.

"Apabila berjaya menjaringkan gol, sudah tentu sedikit sebanyak menambah keyakinan saya sebagai pemain dan rasa sangat teruja kerana sentiasa dibantu pemain hebat dalam skuad ini.

"Walaupun padang agak licin, kami tetap berjaya melaksanakan apa arahan diberikan jurulatih bagi menewaskan KL City (Kuala Lumpur City)," katanya.

Selain Endrick, dua lagi gol JDT terhasil melalui jaringan sendiri Romel Morales pada minit ke-41 dan Arif Aiman Hanapi, pada minit ke-90 untuk memberikan kemenangan mutlak 3-0.

Kemenangan kedua berturut-turut itu meletakkan skuad kendalian Esteban Solari itu berada di tangga kedua liga di belakang Sabah, hanya dipisahkan melalui perbezaan jaringan.

Dalam perlawanan itu, kelibat Syamer Kutty Abba turut menjadi perhatian selepas hampir lapan bulan tidak dapat beraksi ekoran baharu pulih dari kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Dia dimasukkan selaku pemain gantian pada pertengahan babak kedua dan membantu barisan tengah JDT menangani kebangkitan yang cuba dijelmakan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 5:21 PM