TRUCHE (tengah) ketika perlawanan semalam. FOTO Penang Football Club
TRUCHE (tengah) ketika perlawanan semalam. FOTO Penang Football Club
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kedah Darul Aman (KDA) FC memiliki serangan lebih berbahaya daripada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Itu kesimpulan pengendali Penang FC Tomas Truche selepas mengharungi dua perlawanan 'besar' menentang dua kelab gergasi Liga Super dengan anak buahnya hanya tewas 0-2 bertemu JDT dan seri 1-1 berdepan KDA FC.

Tomas berkata, barisan pertahanannya yang mantap turut mempengaruhi keputusan perlawanan terutama berjaya mengekang jentera KDA FC daripada terus mencipta gol pada aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, semalam.

"Pertahanan kami beraksi dengan sangat baik. Sherman, Kipre dan Ataya adalah antara pemain yang terbaik dalam Liga Super.

"Tiga pemain ini mungkin lebih berbahaya daripada pemain JDT. Tidak mudah berdepan mereka tetapi kami berjaya melakukannya dengan hanya beberapa percubaan dan satu gol.

"Kami mencipta banyak peluang pada perlawanan ini. Kalau kami berjaya menjaringkan satu lagi gol, pasti ceritanya akan berbeza," katanya.

Pada aksi terbabit, Endrick memberikan gol pendahuluan buat skuad Harimau Kumbang pada minit ke-11 namun impian mereka mengutip mata penuh berkecai pada minit ke-87 selepas Kpah Sherman meledak gol penyamaan buat pelawat.

Pada masa sama, Tomas mengakui pertemuan menentang KDA FC pada pra musim sebelum ini jelas membantu pasukan lawan merencana strategi yang lebih baik untuk berdepan mereka.

"Ini kali ketiga kami bertemu dalam tempoh tiga minggu, jadi ia bukanlah perlawanan yang mudah untuk kedua-dua jurulatih.

"Mereka tahu apa yang perlu dilakukan. Jadi kami perlu terus bekerja keras dan berusaha mendapatkan keputusan lebih baik pada aksi selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 7:59 PM