KETUA pasukan Selangor FC, Brendan Gan. FOTO NSTP
KETUA pasukan Selangor FC, Brendan Gan. FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua pasukan Selangor FC, Brendan Gan mengakui hanya kemenangan yang diburu barisan pemain dan harap ia dapat direalisasikan pada aksi di laman sendiri nanti.

Skuad Red Giants dijadual menentang Kelantan United dalam aksi pertama saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Petaling Jaya, malam esok.

"Saya berharap semua pemain bersedia sepenuhnya. Secara peribadi, sudah tentu saya mahu kami mencatatkan kemenangan pada semua perlawanan tetapi ia bukanlah semudah yang disangka.

"Di atas padang, macam-macam perkara boleh berlaku tetapi saya percaya barisan pemain boleh terjemahkan arahan taktikal jurulatih sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, pengendali pasukan, Tan Cheng Hoe menjangkakan aksi lebih kompetitif akan ditampilkan oleh anak-anak buahnya.

Kata Cheng Hoe, dia mengakui masih ada aspek yang perlu diperbaiki oleh pasukan tetapi percaya semua pemain sudah dapat memberikan impak positif yang diharapkan.

"Kita boleh lihat pada aksi pramusim sebelum ini daripada satu perlawanan ke satu perlawanan ada peningkatan yang cukup baik.

"Namun, harus diingat saingan Liga Super musim ini cukup kompetitif dan kita perlu perbaiki setiap aspek serta kelemahan yang ada.

"Jika ditanya mengenai kekuatan pasukan, saya anggap perancangan adalah jelas kita perlukan penjaga gol, pertahanan, tengah dan jentera serangan memberikan fokus sebaiknya.

"Pasukan perlu dapatkan jaringan gol dalam usaha memburu kemenangan dan saya harap semua pemain dapat memberi impak yang diharapkan," kata bekas jurulatih Harimau Malaya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Februari 2023 @ 1:08 PM