SAFUWAN bakal meninggalkan NSFC dan kembali menyertai Selangor. FOTO FB NSFC
SAFUWAN bakal meninggalkan NSFC dan kembali menyertai Selangor. FOTO FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) bakal kehilangan perancang tengah berwibawa, Mohamad Safuwan Baharudin, apabila ada ura-ura pemain terbabit akan kembali menyarung jersi Selangor FC.

Difahamkan, pemain import dari Singapura itu sudah mendapat persetujuan bersama dengan pihak pengurusan NSFC untuk meninggalkan skuad Hobin Jang Hobin pada jendela perpindahan kedua pemain, bulan ini.

"Kelab (NSFC) ingin mengucapkan terima kasih kepada Safuwan Baharudin. Selamat maju jaya bersama pasukan baharu yang bakal disertai," kata kenyataan dalam laman web rasmi kelab itu, sekali gus mengesahkan perpindahan pemain terbabit.

Sumber kelab berkata, Safuwan menandatangani kontrak dengan NSFC hanya enam bulan atas faktor kecederaan dan pemain itu tidak memperbaharui kontraknya.

"Jadi, dia kembali kepada pasukan asalnya iaitu Selangor," kata sumber itu hari ini.

Safuwan mula menyarung jersi NSFC pada awal tahun ini walaupun ketika itu banyak pihak mempersoalkan tahap kecergasan pemain itu akibat kecederaan dialaminya pada penghujung musim lalu.

Bagaimanapun, dalam tempoh enam bulan, Safuwan dilihat memainkan peranan proaktif dalam membantu NSFC mengharungi saingan Liga Super dan Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 6:51 PM