DOKUMEN perpindahan Luqman Hakim dari Liga Belgium ke Iceland belum selesai. FOTO ARKIB NSTP
DOKUMEN perpindahan Luqman Hakim dari Liga Belgium ke Iceland belum selesai. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin kemungkinan perlu menunggu lebih lama sebelum dibenarkan beraksi bersama kelab baharunya, FK Njardvik di Liga Iceland.

Ia susulan pendedahan kelab peminat Njardvik di laman sosial yang berkongsi jawapan daripada kelab mengenai status terkini Luqman.

Difahamkan, segala dokumentasi seperti permit pekerjaan dan lain-lain berkaitan polisi kerajaan di negara itu sudah selesai.

Namun terdapat satu lagi halangan berkaitan dokumen perpindahan antara Njardvik dengan kelab asal Luqman iaitu KV Kortrijk dari Belgium yang dikatakan masih tergantung.

"Dia (Luqman) sudah menerima semua pelepasan daripada kerajaan Iceland.

"Tetapi, Luqman perlu menunggu sehingga kelabnya (KV Kortrijk) menyelesaikan segala urusan perpindahan itu," kata kelab peminat Njardvik itu.

Luqman, 21, diberi lampu hijau oleh KV Kortrijk untuk dipinjamkan selama semusim bermula Januari lalu bagi membolehkan penyerang itu kembali beraksi, sekali gus merakam minit permainan.

Perkongsian itu bermakna Luqman kemungkinan tidak dapat beraksi pada hujung minggu ini apabila kelabnya akan turun menentang Horour dalam saingan Piala Iceland.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 10:00 PM