TEN HAG (tengah) memberi arahan kepada pemain. -FOTO AP
TEN HAG (tengah) memberi arahan kepada pemain. -FOTO AP
AFP

Manchester: Peminat Manchester United kini boleh "mengimpikan" cabaran kejuaraan Liga Perdana kata Erik ten Hag selepas kemenangan menakjubkan menewaskan Manchester City 2-1 di Old Trafford.

Dua gol dalam 12 minit terakhir daripada Bruno Fernandes dan Marcus Rashford melonjakkan kedudukan United ke tempat ketiga dan satu mata memisahkan mereka dari pesaing tempatan itu.

Kemenangan itu adalah kejayaan membalas dendam yang manis buat United selepas mereka tewas 3-6 ketika bertemu Oktober lalu.

Anak buah Ten Hag itu kini hanya tewas sekali dari 19 perlawanan, perubahan yang menakjubkan pada musim pertama jurulatih Belanda itu mengambil alih.

"Peminat mungkin boleh bermimpi tapi kami tidak boleh. Kami perlu mengekalkan kami di atas tanah," kata Ten Hag mengenai cabaran United untuk meraih gelaran pertama dalam satu dekad.

"Kami bertambah baik dan itu jelas. Tapi masih ada perjalanan yang panjang, jalan yang perlu dilalui. Banyak aspek dalam permainan kami yang perlu diperbaiki. Kami semakin maju dan itu cukup jelas."

Kebangkitan United dicerminkan dalam aksi mengagumkan Rashford. Pemain antarabangsa England itu kini menjaringkan 16 gol musim ini.

Terdahulu City kelihatan berada dalam keadaan terbaik merangkul kemenangan apabila Jack Grealish yang dimasukkan dari bangku simpanan menanduk masuk untuk meletakkan pelawat mendahului.

Namun momentum mereka mula terencat selepas gol penyamaan kontroversi Fernandes sebelum Rashford meneruskan kemunculan semula yang menakjubkan dengan menjaringkan gol untuk perlawanan kesembilan berturut-turut di Old Trafford.

City kini boleh keciciran lapan mata dari pasukan pendahulu liga, Arsenal sekiranya pasukan Mikel Arteta menewaskan Tottenham awal pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 9:43 AM