RASHFORD (dua dari kiri) berpelukan dengan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika Manchester United menewaskan Nottingham Forest 3-0, hari ini. FOTO AGENSI
RASHFORD (dua dari kiri) berpelukan dengan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika Manchester United menewaskan Nottingham Forest 3-0, hari ini. FOTO AGENSI
AFP

Nottingham: Marcus Rashford menjaringkan gol menerusi gerakan solo ketika Manchester United menewaskan Nottingham Forest 3-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris, hari ini.

Pemain England itu menjaringkan gol ke-18nya musim ini pada minit keenam aksi di City Ground.

Pemain pinjaman baharu United, Wout Weghorst menjaringkan gol pertamanya untuk kelab sebelum rehat sebelum Bruno Fernandes memastikan kemenangan selesa di akhir permainan.

Skuad kendalian Erik ten Hag itu semakin hampir untuk menempah tiket ke final di Wembley dan menamatkan kemarau enam tahun kejuaraan - dengan Newcastle atau Southampton akan menanti di final.

"Saya gembira dengan persembahan pasukan dan saya rasa kami mengawal seluruh permainan," kata Ten Hag.

Forest menyaksikan gol mereka di babak pertama dibatalkan dan Ten Hag memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak membiarkan lawan itu bangkit pada aksi timbal balik di Old Trafford pada 1 Februari depan.

"Kami perlu bermain satu lagi perlawanan dan perlu melakukan perkara sama. Kami perlu bersedia, membuat perancangan yang baik dan pemain perlu fokus," katanya.

Selepas jaringan Rashford, tuan rumah beranggapan mereka sudah menyamakan kedudukan menerusi Sam Surridge, tetapi gol berkenaan dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) kerana ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 7:53 AM