RASHFORD semakin berbisa.
RASHFORD semakin berbisa.
AFP

London: Erik ten Hag menggesa Marcus Rashford kekal di Manchester United kerana dia mahu menjadikan mereka pasukan terbaik dunia.

United gagal menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013 dan trofi utama terakhir mereka ialah Liga Europa 2017.

Ia kemarau terburuk mereka dalam tempoh 40 tahun tetapi pengurus United, Ten Hag mula menunjukkan kemampuannya dalam membina semula pasukan musim ini.

Penyerang England, Rashford, 25, muncul tonggak utama bagi membantu United yang kini menduduki tangga keempat EPL.

Selepas dua tahun prestasi buruk, dia kembali berbisa di bawah kendalian Ten Hag dan United berharap Rashford melanjutkan kontraknya yang berbaki 18 bulan lagi.

Gergasi Perancis Paris Saint Germain dikaitkan dengan Rashford musim lalu tetapi Ten Hag yakin pemainnya itu terus kekal di Old Trafford.

"Saya fikir dia faham Man United adalah kelabnya. Itu yang pertama. Dalam persekitaran ini dan dalam pasukan, saya fikir dia berada di kemuncak prestasi dalam kariernya," kata Ten Hag.

"Dia semakin meningkat, dia memberikan 100% tenaga. Mempunyai pelan yang baik dan saya fikir dia boleh membawa kualiti dalam pasukan ini.

"Jadi, kelab ini boleh membantunya mendapatkan posisi yang betul dan menjaringkan gol. Jika kami mahukan kejayaan, kami perlukan dia."

Rashford meledak 17 gol dalam semua kejohanan untuk United musim ini dan menyinar bersama England pada Piala Dunia di Qatar.

Ditanya mengenai potensi persaingan daripada PSG yang berminat dengan Rashford, Ten Hag berkata: "Saya harap semua pemain saya dapat menarik minat kelab lain kerana ini bermakna kami menjalankan tugas dengan baik, prestasi pasukan melonjak dan itu sasaran kami.

"Kemudian saya katakan ini tempat terbaik kerana kami mahu membina pasukan terbaik, pertama di England, Eropah serta di dunia."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 8:22 AM