HANG Seo pada sidang media. FOTO Bernama
HANG Seo pada sidang media. FOTO Bernama
Zulfaizan Mansor


Hanoi: Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo memberi gambaran bahawa Malaysia tiada alasan untuk merungut terhadap keputusan pengadil ketika aksi Piala AFF 2022 di Stadium My Dinh, malam ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu menegaskan bahawa bola sepak adalah sukan yang mempunyai peraturan dan mana-mana pemain yang melakukan kesalahan akan dihukum.

"Bola sepak adalah sukan di mana kami perlu lakukan apa yang boleh untuk menang, tapi bola sepak juga ada peraturan. Jadi, jika melanggar peraturan, anda akan dihukum," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Vietnam melebarkan rekod tanpa kalah berdepan Malaysia apabila mencipta kemenangan 3-0 dalam aksi Kumpulan B itu dan merampas kedudukan teratas.

Bagaimanapun aksi itu terpalit kontroversi selepas pengadil dari Jepun, Sato Ryuji memberikan sepakan penalti kepada Vietnam pada minit ke-59.

Keputusan itu cuba dibantah barisan pemain Harimau Malaya kerana tiada kekasaran yang dilihat dilakukan Azam Azmi Murad ke atas Doan Van Hau di dalam kotak penalti melainkan berlaku pergelutan dua pemain itu di luar padang selepas kedua-duanya terjatuh ketika merebut bola.

Insiden itu turut menyaksikan perlawanan terhenti kira-kira lima minit dan nasib lebih malang menimpa Harimau Malaya apabila Azam dilayangkan kad merah sebelum Que Ngoc Hai menyempurnakan sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 12:40 AM