GELAGAT penyokong Malaysia sebelum perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Disember lalu. FOTO Asyraf Hamzah
GELAGAT penyokong Malaysia sebelum perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2018 antara Malaysia menentang Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, 1 Disember lalu. FOTO Asyraf Hamzah
Zulfaizan Mansor

 

KUALA LUMPUR: Pemain antarabangsa Vietnam, Vo Huy Toan memberi amaran bahawa skuad kendalian Park Hang-Seo bakal berdepan tekanan dahsyat daripada puluhan ribu penyokong Malaysia pada aksi final pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Ia bukan amaran kosong daripada pemain sayap itu kerana dia sendiri pernah merasai pengalaman ngeri berdepan penyokong Malaysia ketika separuh akhir pertama Piala AFF, empat tahun lalu.

Walaupun perlawanan ketika itu berlangsung di Stadium Shah Alam, Huy Toan yang tidak tersenarai dalam skuad Vietnam pada edisi kali ini menegaskan suasana sama bakal berlaku di Bukit Jalil berdasarkan kapasiti kedua-dua stadium berkenaan yang boleh memuatkan lebih 80,000 penonton.

"Saya tidak fikir akan mendapat peluang diturunkan dalam permainan besar ketika berdepan Malaysia. Saya dan rakan sepasukan terkejut dengan tekanan dahsyat yang hadir dari tempat duduk penonton.

“Boleh dikatakan penyokong Malaysia enggan melihat pasukan mereka tewas kepada Vietnam, mereka benar-benar ‘gila’ di tempat duduk,” katanya seperti yang dilaporkan media Vietnam, Zing News.

“Mereka sentiasa bersorak, menyanyi dan menaikkan semangat pasukan, sambil memberi tekanan kepada Vietnam. Saya tidak pernah bermain di bawah tekanan berat seperti itu, termasuk beberapa rakan sepasukan yang lain.”

Walaupun berdepan tekanan hebat daripada penyokong Harimau Malaya, Vietnam bagaimanapun berjaya meraih kemenangan 2-1 dengan Huy Toan meledak gol penyamaan buat Naga Emas pada minit ke-32.

Vietnam bagaimanapun dikecewakan Harimau Malaya di hadapan penyokong sendiri apabila tewas 2-4 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, sekali gus menyaksikan Harimau Malaya melangkah ke final dengan agregat 5-4.

Bagi edisi kali ini, skuad Naga Emas mempamerkan persembahan cemerlang apabila masih mengekalkan rekod tanpa kalah dan pernah menundukkan Malaysia 2-0 pada aksi peringkat kumpulan di Hanoi, bulan lalu.

Namun, Huy Toan turut mengingatkan anak buah Hang-Seo untuk lebih berwaspada terhadap kebangkitan Malaysia apatah lagi dengan rekod kurang baik Vietnam setiap kali berdepan Harimau Malaya dalam aksi timbal balik.

“Saya harap Hang-Seo dan semua pemain berhati-hati dengan Malaysia. Jika leka, Vietnam akan terperangkap dan menerima keputusan yang kurang baik.

“Namun jika tiada keyakinan, pasukan Vietnam mungkin tidak dapat mengatasi tekanan ketika perlawanan menentang Myanmar dan Filipina sebelum ini.

“Jadi, saya percaya bahawa jurulatih, Hang- Seo dan pemain Vietnam mampu menghadapi tekanan daripada lebih 80,000 penyokong di Bukit Jalil nanti,”

katanya.

  • Lagi berita Piala AFF
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 6:32 PM