HEY ketika sidang media di Yangon. FOTO FAM
HEY ketika sidang media di Yangon. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Yangon: Pengendali pasukan bola sepak Myanmar dari Jerman, Antoine Hey akui bukan mudah berdepan Malaysia dalam aksi pembukaan Kumpulan B saingan Piala AFF di Stadium Thuwunna, di sini, malam esok.

Katanya, pengalaman menentang skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada kempen AFF 2018 lalu masih segar dalam ingatannya di mana anak buahnya tumbang 3-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan ketika itu.

Namun jelasnya, situasi itu bakal berubah apabila pasukannya akan beraksi di halaman sendiri dengan difahamkan 2,000 penyokong bakal diberi kebenaran untuk masuk bagi membakar semangat pemain tuan rumah.

"Kami pernah menentang mereka (Malaysia) sebelum ini beberapa tahun lalu. Kami tahu mereka ada ramai pemain berpengalaman termasuk beberapa tonggak naturalisasi dalam pasukan.

"Mereka juga melalui beberapa aksi persahabatan dan perlawanan di bawah jurulatih baharu (Kim Pan-gon) dan kami sudah bersedia untuk itu.

"Pada pertemuan 2018 lalu, kami tewas 3-0 dalam perlawanan terakhir kumpulan Piala AFF. Pada saya ketika itu ia perlawanan menghiburkan, di mana kami bermain di depan lebih 80,000 penyokong tuan rumah (di Stadium Nasional Bukit Jalil) yang membuatkan pemain kami gugup.

"Tapi kali ini senario itu akan berubah dan kami harap dapat ubah keputusan itu serta berikan tentangan yang terbaik," katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya tidak pernah menang di Yangon sejak 2016 lalu, di mana Malaysia tumbang dua kali dan seri sekali dalam tiga aksi di Stadium Thuwunna ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 7:54 PM