Pemain Perancis menjalani latihan menjelang aksi final berdepan Argentina. FOTO AP
Pemain Perancis menjalani latihan menjelang aksi final berdepan Argentina. FOTO AP
AFP

Doha: Adrien Rabiot kembali daripada kesakitan dalam satu daripada dua pertukaran dilakukan Perancis bagi final Piala Dunia berdepan Argentina diketuai Lionel Messi dengan Angel Di Maria turut berada dalam senarai permulaan.

Pemain tengah, Rabiot dan pertahanan tengah, Dayot Upamecano kedua-duanya diketepikan dari skuad Perancis ketika kemenangan separuh akhir ke atas Maghribi selepas berdepan sejenis virus yang turut menjejaskan beberapa individu dalam skuad Perancis.

Begitupun, kedua-dua mereka kembali dalam senarai pemain yang dinamakan jurulatih, Didier Deschamps, ketika Youssouf Fofana dan Ibrahima Konate diketepikan.

Selebihnya dalam senarai Perancis tidak berubah, dengan pertahanan tengah, Raphael Varane boleh beraksi sekalipun terlepas sesi latihan pada Jumaat dengan gejala seperti selesema.

Sementara, Olivier Giroud kekal di tempatnya dalam barisan serangan Perancis bersama Kylian Mbappe berada di sebelah kiri, sekalipun terdapat jangkaan dia mungkin beralih ke bahagian tengah dan Marcus Thuram akan beraksi.

Penampilan pemain berpengalaman Di Maria adalah satu-satunya pertukaran dilakukan Argentina yang menewaskan Croatia 3-0 dalam aksi separuh akhir.

Pemain sayap Juventus itu mengambil alih tempat pemain tengah, Leandro Paredes, menyertai Messi dan Julian Alvarez dengan trio rangkaian serangan.

Messi adalah pemain tunggal daripada skuad Argentina yang memulakan perlawanan pada final 2014 ketika tewas kepada Jerman. Di Maria turut berada dalam skuad itu tetapi terlepas perlawanan kerana kecederaan.

Kesebelasan utama pemain:

Argentina: Emiliano Martinez, Cristian Romero, Nicolas Otamendi, Nahuel Molina, Nicolas Tagliafico, Rodrigo De Paul, Alexis Mac Allister, Enzo Fernandez, Angel Di Maria, Lionel Messi (K), Julian Alvarez

Perancis: Hugo Lloris (K), Jules Kounde, Raphael Varane, Dayot Upamecano, Theo Hernandez, Antoine Griezmann, Aurelien Tchouameni, Adrien Rabiot, Ousmane Dembele, Olivier Giroud, Kylian Mbappe

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 11:00 PM